Berita Auto

MINI 3 Door, 5 Door & Convertible Baharu Dilancarkan Di Malaysia

MINI Malaysia hari ini melancarkan empat model sekaligus iaitu 3 Door, 5 Door, Convertible dan Electric. Untuk model berenjin pembakaran dalam, ketiga-tiganya didatangkan dalam trim Cooper S.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-5

Dari segi penampilan, MINI 3 Door, 5 Door dan Convertible hadir dengan rupa lebih progresif dengan bahagian hadapan, sisi dan apron belakang yang direka semula. Ia mempunyai gril berbentuk heksagon dengan lampu kabus yang telah digantikan dengan tirai udara, serta perumah hitam berkilat untuk lampu LED.

Model-model berkenaan juga boleh didapati dalam pelbagai warna baharu dan rodanya diberikan rekaan lebih segar. Imej ditonjolkan lagi menerusi kemasan Piano Black pada pemegang pintu, ekzos, logo MINI dan model, serta penutup tangki minyak.

Di dalam, model-model ini dilengkapi dengan stereng baharu, kemasan decor baharu, sistem pencahayaan ambien dengan enam pilihan warna, rekaan corong udara yang lebih moden yang diintegrasikan ke dalam permukaan kokpit. Kluster instrumen tengah dihiasi dengan kemasan Piano Black dan menampilkan paparan 8.8 inci dengan ciri navigasi, Apple CarPlay dan grafik lebih moden. Untuk pemandu pula, terdapat kluster instrumen digital berukuran lima inci dengan dua skema warna iaitu Lounge dan Sport.

Ketiga-tiga model ini dikuasakan oleh enjin MINI TwinPower Turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 192 hp dan 280 Nm. Dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan, 3 Door dan 5 Door masing-masing boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat dan 6.8 saat, dengan kelajuan maksimum 235 km/j. Model Convertible pula memerlukan 7.1 saat untuk mencapai kelajuan yang sama dan kelajuan maksimumnya juga lebih rendah sedikit iaitu 230 km/j.

Ciri-ciri lain yang disertakan secara standard termasuklah Driving Assistant yang merangkumi ciri-ciri seperti Digital High-Beam Assistant, Speed Limit Information, Person Warning with Light City Braking Function, Approach Control Warning with Light City Braking Function, Parking Assistant dan Lane Departure Warning.

MINI App pula menawarkan akses mudah ke atas pelbagai Servis Jarak Jauh (Remote Services), navigasi, dan fungsi e-Mobiliti. Telekhidmat (Teleservices), MINI Dalam Talian (MINI Online), Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call), Servis Jarak Jauh (Remote Services), dan telefoni dengan ciri pengecasan tanpa wayar juga disediakan sebagai standard bagi kesemua varian.

3 Door dan 5 Door ditawarkan dalam warna White Silver, Island Blue, Chili Red, British Racing Green dan Rooftop Grey, lengkap dengan bumbung berwarna Jet Black dan jalur bonet berwarna hitam. Convertible disediakan dalam warna Zesty Yellow, White Silver, Island Blue, Chili Red, dan British Racing Green, lengkap dengan bumbung MINI Yours Softtop.

Berikut adalah harga jualan selepas pengecualian cukai jualan:

  • MINI Cooper S 3 Door: RM253,318.69
  • MINI Cooper S 5Door: RM261,005.83
  • MINI Cooper S Convertible: RM274,360.46

Setiap varian didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan bertempoh empat tahun berserta pakej servis berjadual percuma.

Previous post

Perkhidmatan Shuttle Percuma GoVax Kini Meliputi UMMC Dan IDCC

Next post

MINI Electric Baharu Masuk Pasaran Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *