Cerita Auto

Lexus NX Generasi Ke-2 Hadir Dengan Rekaan Segar, Enjin Dan Teknologi Baharu

Lexus NX generasi kedua telah diperkenalkan secara rasmi baru-baru ini. Selain mempunyai rekaan yang lebih segar dan barisan enjin baharu, sistem infohibur sebelum ini yang sering dikritik telah digantikan dengan sistem baharu yang dikenali Lexus Interface.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-36

Perubahan reka bentuk luaran NX baharu boleh dikatakan agak sederhana, namun cukup untuk memberikan impak positif. Bentuk gril ‘spindle’ tidak jauh berbeza berbanding sebelum ini, manakala lampu hadapan kini lebih tajam dan didatangkan dalam warna hitam bagi membuatkan lampu nyalaan siang berbentuk anak panah itu lebih menonjol.

Sementara itu, lampu belakang pula menampilkan grafik berbentuk L dan seperti yang boleh dilihat, ia kini bersambung dari kiri hingga kanan. Logo ‘L’ pada tailgate pula telah dibuang dan digantikan dengan perkataan ‘L E X U S’.

NX baharu dibina di atas platform TNGA (GA-K) yang menggunakan sistem suspensi MacPherson di hadapan dan ‘double wishbone’ di belakang. Dari segi saiz, ia mempunyai ukuran panjang 4,660 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,640 mm, dan jarak tapak roda 2,690 mm, sekaligus menjadikan ia lebih besar dan panjang berbanding model generasi pertama.

Di dalam, sistem infohibur Lexus Interface didatangkan dengan skrin sentuh standard berukuran 9.8 inci atau skrin sentuh 14 inci yang ditawarkan secara pilihan. Tiada lagi pad sentuh di dalam model baharu ini, ia digantikan oleh butang dan tombol fizikal. Turut disertakan adalah kluster instrumen digital berukuran 7.0 inci dan pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan paparan head-up berukuran 10 inci.

Untuk model 2022, NX ditawarkan dengan empat pilihan trenkuasa. Varian paling asas iaitu NX 250 hadir dengan enjin aspirasi natural 2.5-liter empat silinder dengan 203 hp dan 250 Nm. Ia dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, dengan pilihan pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda.

Diposisikan di atasnya adalah NX 350 yang dikuasakan oleh enjin turbo 2.4-liter empat silinder. Juga dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan, enjin tersebut mampu menghasilkan 275 hp dan 430 Nm.

Sementara itu, NX 350h pula merupakan varian hibrid yang menampilkan enjin 2.5-liter empat silinder dan sebuah motor elektrik pada setiap gandar. Gandingan ini menghasilkan 239 hp yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 7.2 saat.

Varian tertinggi adalah NX 450h+ yang menggunakan trenkuasa hibrid plug-in dengan enjin 2.5-liter yang sama dengan NX 350h dan motor elektrik pada gandar hadapan dan belakang. Bagaimanapun, jumlah kuasa keseluruhan yang dihasilkan masih belum diumumkan.

Dari segi keselamatan, NX dilengkapi dengan Lexus Safety System+ yang telah dinaik taraf dengan ciri-ciri baharu. Sebagai controh, Pre-Crash Safety (PCS) kini boleh membantu mengelakkan kereta dari bertembung dengan kenderaan, pejalan kaki dan penunggang basikal yang datang dari arah hadapan ketika berada di simpang. Skop bantuan juga telah diperluaskan untuk merangkumi motosikal, kenderaan yang terkeluar dari lorong dan penunggang basikal pada waktu malam.

Selain itu, terdapat juga ciri-ciri baharu seperti sistem E-Latch yang menggunakan kawalan elektrik pada pemegang pintu untuk pembukaan yang lebih lancar dan mudah, serta Safe Exit Assist yang akan memberikan amaran kepada pemandu sekiranya terdapat kenderaan yang datang dari arah belakang ketika hendak membuka pintu.

Previous post

Bugatti Chiron Super Sport Mampu Pecut Sehingga 440 Km/j

Next post

Permintaan Untuk SUV Semua Segmen Terus Berkembang Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *