Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Isuzu D-Max Generasi Ke-3 Masuk Pasaran Malaysia

Pada awal bulan ini, Isuzu Malaysia telah membuka tempahan untuk Isuzu D-Max generasi ketiga. Seperti yang dijanjikan, hari ini trak pikap itu dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan.

Direka sepenuhnya dari mula dengan menggunakan platform Dynamic Drive, D-Max bukan sahaja lebih cekap dan lasak, malah direka supaya lebih senyap dan selesa. Ia ditawarkan dalam tujuh varian kesemuanya, dengan X-Terrain sebagai varian tertinggi.

Isuzu D-Max

Direka untuk memenuhi keperluan gaya hidup, D-Max X-Terrain dikuasakan oleh enjin turbodiesel 3.0-liter empat silinder yang telah direka semula bagi meningkatkan prestasi dan respon, dan pada masa yang sama mengurangkan bunyi dan gegaran. Enjin tersebut menghasilkan 190 PS pada 3,600 rpm dan 450 Nm tork yang boleh diakses dari serendah 1,600 hingga 2,600 rpm. Kuasa disalurkan oleh transmisi automatik enam kelajuan baharu.

Platform Dynamic Drive tersebut menggunakan rangka ‘ladder frame’ baharu yang menawarkan tahap ketegaran casis yang lebih tinggi sekaligus menjadikan ia lebih tahan lasak. Digabungkan dengan konfigurasi baharu sistem suspensi dan jarak tapak roda yang lebih panjang yang membolehkan enjin diletakkan lebih jauh di belakang gandar hadapan, D-Max dikatakan mempunyai pengendalian lebih dinamik dan selesa.

Isuzu D-Max

Boleh didapati dalam warna Valencia Orange dan Sapphite Blue, X-Terrain dilengkapi dengan ciri-ciri seperti fungsi hidupkan enjin jarak jauh, Rear Differential Lock, upholsteri kulit dengan pelarasan elektronik lapan hala dan sokongan lumbar, serta sistem infohibur sembilan inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay.

Turut disertakan adalah sistem bantuan pemandu ADAS yang merangkumi Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane Departure Warning (LDW), Turn Assist, Pedal Misapplication Mitigation, Adaptive Cruise Control (ACC) dengan fungsi Stop & Go, Automatic High Beams (AHB), Blind Spot Monitor (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Manual Speed Limiter (MSL) dan Multi-Collision Brake yang akan mengaktifkan brek apabila salah satu daripada tujuh beg udara mengembung.

Isuzu D-Max

Turut serta dalam barisan D-Max baharu adalah dua varian Premium – 1.9-liter 4×4 Auto dan 3.0-liter 4×4 Auto – yang menawarkan prestasi pemanduan dan keselesaan sambil mengekalkan kelasakan yang sinonim dengan jenama Isuzu. Sementara itu, pemilik perniagaan yang murah untuk diselenggarakan boleh mendapatkan model Standard 1.9-liter yang boleh didapati dalam versi manual atau automatik.

Isuzu Malaysia turut menawarkan model Single Cab dengan enjin 1.9-liter atau 3.0-liter. Ia dilengkapi dengan pelbagai ciri keselamatan dan seperti varian-varian D-Max yang lain, ia mendapat pengiktirafan lima bintang dari ASEAN NCAP.

Isuzu D-Max

Semua model D-Max didatangkan dengan waranti selama lima tahun atau 150,000 km, manakala varian X-Terrain mendapat waranti selama tujuh tahun tanpa had perbatuan.

Berikut adalah senarai harga D-Max untuk pendaftaran persendirian, tidak termasuk insurans, bagi Semenanjung Malaysia:

  • D-Max 1.9L Single Cab (MT) RM88,599.20
  • D-Max 3.0L Single Cab (MT) RM95,538.40
  • D-Max 1.9 Double Cab Standard (MT) RM99,599.20
  • D-Max 1.9 Double Cab Standard (AT) RM106,999.20
  • D-Max 1.9 Double Cab Premium (AT) RM121,549.20
  • D-Max 3.0 Double Cab Premium (AT) RM128,038.40
  • D-Max 3.0 Double Cab X-Terrain RM141,938.40
Previous post

Toyota GR010 Hybrid Buat Kemunculan Sulung 1 Mei Ini

Next post

Maserati Berikan Levante Dan Ghibli Cat F Tributo

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *