Hibrid & Elektrik

Crossover Elektrik Toyota bZ4X Diperkenalkan Di Auto Shanghai

Pameran Auto Shanghai yang kini sedang berlangsung di Shanghai, China menyaksikan kemunculan sebuah model konsep crossover elektrik iaitu Toyota bZ4X. Menurut Toyota, ia akan menjadi model pertama dalam barisan kenderaan elektrik bateri (BEV) baharunya yang dikenali sebagai bZ atau Beyond Zero.

BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-3

bZ4X akan dibangunkan menggunakan platform e-TNGA yang dibangunkan secara bersama oleh Toyota dan Subaru. Ini membolehkan model itu memanfaatkan kepakaran Toyota dalam bidang elektrifikasi dan Subaru dalam aspek pacuan semua roda (AWD).

Berikut adalah antara kelebihan bZ4X:

  • Menggunakan platform spesifik untuk BEV, bZ4X menggabungkan tapak roda yang panjang dan overhang yang pendek, sekaligus memberikannya reka bentuk yang menonjol dan ruang dalaman yang setanding dengan sedan segmen D
  • Rekaan stereng yang unik menjadikan pemanduan lebih mudah manakala penggunaan sistem Steer-by-Wire memberikan rasa pengendalian yang lebih lancar
  • Kedudukan panel instrumen yang rendah serta lokasi meter di atas stereng bukan sahaja membuatkan ruang kabin terasa lebih luas, malah meningkatkan penglihatan pemandu
  • Sistem AWD yang digunakan oleh bZ4X menggabungkan keselamatan dan prestasi pemanduan yang menyeronokkan, di samping menyumbang kepada prestasi off-road yang mengagumkan
  • Selain sistem brek janaan semula, bZ4X juga akan menggunakan sistem solar yang berfungsi untuk mengecas semula bateri semasa kenderaan tidak bergerak

Toyota merancang untuk mengeluarkan bZ4X di Jepun dan juga China, manakala jualannya di peringkat global dijangka akan bermula pada pertengahan 2022.

Dalam usahanya untuk mewujudkan barisan kenderaan berteknologi elektrifikasi yang lengkap, Toyota mengesahkan bahawa ia akan memperkenalkan 15 model BEV menjelang 2025, termasuk tujuh model BEV siri bZ. Syarikat itu menggunakan dua pendekatan iaitu “Mobility for All” dan “Human-Centered”.

“Mobility for All” memfokuskan kepada model BEV ultra-kompak berkapasiti kecil untuk penggunaan jarak pendek. Toyota C+ pod yang dilancarkan pada Disember tahun lalu, adalah satu contoh.

Sementara itu, siri bZ mengambil pendekatan “Human-Centered” yang mensasarkan penggunaan yang lebih meluas di China, Amerika Syarikat dan Eropah, di mana terdapatnya permintaan yang lebih tinggi untuk BEV dan banyak bekalan tenaga elektrik yang boleh diperbaharui.

Kenderaan-kenderaan dalam siri bZ akan menggunakan platform yang khusus untuk BEV yang menawarkan pelbagai variasi dari segi saiz dan reka bentuk. Selain Subaru, Toyota turut berganding bahu dengan beberapa syarikat lain yang mempunyai kepakaran dalam pelbagai bidang seperti Daihatsu, Suzuki dan juga BYD, pengeluar kenderaan komersial terkenal dari China.

Previous post

BWM M3 Dan M4 Competition Kini Dalam Versi xDrive

Next post

Mercedes-Benz EQB Diperkenalkan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *