Cerita Auto

Bentley Flying Spur V8 2021 Dilancarkan Di Malaysia

Susulan ketibaan Flying Spur W12 pada Ogos tahun lalu, Bentley Kuala Lumpur hari ini melancarkan pula versi V8 model grand tourer empat pintu mewah itu. Ditawarkan pada harga bermula RM839,000 (tidak termasuk cukai, opsyen dan pendaftaran), Flying Spur V8 menawarkan pengalaman yang lebih berfokuskan kepada pemandu.

6.-BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-8

Nadi Flying Spur ini adalah enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 550 PS dan tork maksimum 770 Nm, yang mana menurut Bentley tersedia sebelum jarum mencecah 2,000 rpm. Ini membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 4.1 saat dan mencapai kelajuan maksimum 318 km/j.

Dari segi ekonomi bahan api, enjin tersebut dilengkapi dengan teknologi penyahaktifan silinder yang boleh ‘mematikan’ empat daripada lapan silindernya apabila permintaan tork berada di bawah 235 Nm dan kelajuan enjin di bawah 3,000 rpm. Ini memberikan penjimatan bahan api sebanyak 16%.

Menurut Bentley, Flying Spur V8 adalah 100 kg lebih ringan berbanding versi W12, sekaligus menjadikannya lebih lincah dan responsif. Ini ditambah lagi dengan kehadiran ciri-ciri seperti suspensi udara adaptif, pemvektoran tork melalui brek, kawalan dinamik pemanduan, stereng elektrik serta anti-roll bar hadapan dan belakang.

Selain itu, pelanggan juga boleh mendapatkan sistem Electric Active Anti-Roll Control 48-volt (Bentley Dynamic Ride) dan Electronic All-Wheel Steering untuk pengendalian yang lebih cekap.

Dari segi penampilan, Flying Spur V8 didatangkan standard dengan rim aloi 20 inci, lambang sayap V8 dan ekzos quad. Terdapat lebih 60 warna luaran untuk dipilih, termasuk warna Mulliner dan komisyen persendirian, di samping pakej Blackline Specification dan Styling Specification.

Ruang dalaman didatangkan standard dengan trim Crown Cut Walnut, dengan tujuh pilihan venir dan kemasan High Gloss Carbon Fibre. Terdapat lima pilihan warna untuk upholsteri kulit, namun untuk sentuhan yang lebih peribadi, Bentley menawarkan pilihan Colour Specification yang menawarkan 10 warna dan konfigurasi dua tona untuk dipilih.

Antara kelengkapan yang disertakan secara standard termasuklah skrin sentuh 12.3 inci yang terletak pada bahagian tengah papan pemuka. Apa yang menarik, bahagian ini boleh berputar untuk mendedahkan tiga dial analogue iaitu untuk suhu luaran, kompas dan chronometer.

Previous post

Kecurian Kereta Di Malaysia Turun 37% Tahun Lepas

Next post

Lamborghini Huracán EVO Kini Datang Dengan Alexa

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *