Berita Auto

Aston Martin V12 Speedster ‘Berjiwa’ DBR1

Aston Martin V12 Speedster sememangnya adalah sebuah jentera tanpa bumbung yang ultra moden, namun ia masih boleh dispesifikasikan dengan sentuhan klasik menerusi pakej DBR1 yang ditawarkan secara opsyen.

Diinspirasikan oleh jentera lumba DBR1 yang pernah memenangi perlumbaan 24 Hours of Le Mans dan 1,000 km of Nurburgring pada 1959, pakej tersebut memberikan V12 Speedster warna Aston Martin Racing Green dengan jalur dan bulatan berwarna Clubsport White.

Selain itu, ia juga mendapat rim berukuran 21 inci dengan kemasan berlian satin hitam dan trim Satin Silver pada bahagian gril. Menurut Aston Martin, proses mengecat setiap unit V12 Speedster memakan masa kira-kira 50 jam.

Ruang dalaman pula menampilkan gabungan upholsteri kulit saddle Conker, tekstil Veridian Green dan kulit Caithness. Aston Martin turut menggunakan gentian karbon dan trim aluminium perak untuk mendapatkan suasana yang lebih eksklusif.

Bukan itu sahaja, pelanggan yang memesan spesifikasi DBR1 juga akan menerima sepasang topi keledar yang didatangkan dalam warna Racing Green yang sama. Ia disimpan di dalam ruang kargo yang terletak di belakang ruang kabin.

Diperkenalkan pada Mac tahun lalu, V12 Speedster dikuasakan oleh enjin 5.2-liter twin-turbo V12 yang menghasilkan 700 PS dan 753 Nm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan keluaran ZF yang memacu roda belakang, ia mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 319 km/j.

Tempahan untuk model ini telah pun dibuka. Bagaimanapun, ia terhad kepada 88 unit sahaja dan setiap satu akan dihasilkan dengan tangan di Gaydon. Penyerahan dijangka bermula pada pertengahan tahun ini.

Previous post

Citroën Ami 6 Sudah Berusia 6 Dekad

Next post

Honda Malaysia Panggil Semula 77,708 Unit Kenderaan Ganti Pam Bahan Api

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *