Berita Auto

Renault Megane R.S. 300 Trophy Kini Di Malaysia – RM326,476

TC Euro Cars (TCEC) telah melancarkan Renault Megane R.S. 300 Trophy versi facelift ke pasaran. Model baharu ini dijual pada harga RM326,476 (harga atas jalan tanpa insurans) dengan pengecualian cukai jualan SST. Ia didatangkan dengan jaminan tiga tahun atau 100,000 km.

6.-BHPetrol_Euro5-Diesel_Web-Banner_BM_GoHedGostan_650x85_FA-31

Selain membeli, pelanggan mempunyai pilihan untuk melanggan kereta ini menerusi program langganan TCEC yang menawarkan pelan satu, dua atau tiga tahun dengan yuran bulanan serendah RM5,200. Yuran tersebut termasuk kos cukai jalan, insurans dan penyelenggaraan. Bagaimanapun, setiap pelan didatangkan dengan had perbatuan 20,000 km setahun.

Berbalik kepada Megane R.S. 300 Trophy, kelebihan utama model ini terletak di bawah hud, di mana enjin turbo 1.8-liter empat silinder telah ditala bagi menghasilkan 300 PS dan 420 Nm, peningkatan sebanyak 20 PS dan 30 Nm berbanding model terdahulu iaitu R.S. 280.

Walaupun mempunyai kuasa yang lebih tinggi, Megane tidak lagi ditawarkan dengan transmisi manual enam kelajuan. Satu-satunya pilihan transmisi yang ada adalah transmisi Efficient Dual Clutch (EDC) enam kelajuan yang membolehkan jentera ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.7 saat.

Corak penukaran gear EDC boleh dikonfigurasikan menerusi mod-mod pemanduan R.S. Drive iaitu My Sense, Save, Sport dan Race. Dalam mod Sport dan Race, pemandu boleh menggunakan fungsi Launch Control dan Multi-Change Down, yang membolehkan mereka menurunkan beberapa gear secara serentak dengan memegang pedal sebelah kiri. Gear yang paling sesuai akan dipilih untuk memecut keluar dari selekoh dengan lebih pantas.

Untuk casis, R.S. 300 dilengkapi dengan casis Cup yang menampilkan LSD mekanikal Torsen yang telah dikalibrasikan semula. Turut disertakan adalah 4Control, sistem stereng empat roda yang memastikan jentera ini lincah di selekoh dan stabil pada kelajuan tinggi.

Dari segi kelengkapan, hot hatch ini didatangkan standard dengan lampu LED hadapan dan belakang, serta lampu nyalaan siang yang direka semula. Rim Jerez berukuran 19 inci, berserta bilah ala F1 pada bampar hadapan melengkapkan imej agresifnya.

Di dalam, pemandua akan menemui upholsteri kulit ‘double diamond’ R.S., balutan Alcantara pada stereng, panel instrumen digital TFT berukuran tujuh inci, serta skrin sentuh Easylink tujuh inci dengan ciri Apple CarPlay dan Android Auto.

Selain warna merah Flame Red yang dipaparkan ini, Megane R.S. 300 Trophy juga boleh didapati dalam warna Diamond Black, Pearl White, Liquid Yellow dan Orange Tonic. Dua warna akhir itu adalah warna signatur yang ditawarkan pada harga tambahan bernilai RM9,000.

Previous post

Litar Antarabangsa OPen Road Langkawi Bakal Dibuka Pada 2023

Next post

Toyota Corolla Cross Akhirnya Masuk Pasaran Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *