Berita Auto

Pagani Huayra R Diperkenalkan

Pagani Huayra sudah berada dalam pasaran selama 10 tahun, namun dengan pengenalan versi terbaharu yang dikenali sebagai Huayra R, ia nampaknya akan terus bertahan sekurang-kurangnya untuk beberapa tahun lagi.

Ada beberapa perkara yang menjadikan Huayra R berbeza dengan versi-versi yang hadir sebelum ini. Pertama sekali, ia merupakan versi litar yang tidak sah untuk digunakan di jalan raya. Kedua, ia dikuasakan oleh enjin V12-R yang dibina khas oleh subsidiari Mercedes-Benz iaitu HWA AG. Dengan sesaran 6.0 liter, enjin aspirasi natural itu menghasilkan 850 hp dan 750 Nm, dan mempunyai redline 9,000 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan transmisi berjujukan enam kelajuan yang turut dibangunkan oleh syarikat yang sama. Menurut Pagani, unit seberat 80 kg itu dilengkapi dengan klac cakera logam yang memberikan penukaran gear yang lebih tepat dan pantas.

Sistem ekzos Inconel dengan rekaan manifold dan muncung yang unik membolehkan enjin itu menjana bunyi seakan jentera F1 zaman dahulu. Ia boleh dilengkapi dengan peredam yang berfungsi untuk mengurangkan bunyi bising bagi mematuhi had 110 desibel seperti yang ditetapkan oleh FIA untuk litar-litar tertentu.

Huayra R menggunakan casis monocoque baharu yang mengintegrasikan tempat duduk sepenuhnya bagi tujuan keselamatan. Ia juga mempunyai struktur sisi, roll-bar dan bingkai keluli aloi pada bahagian hadapan yang direka untuk kegunaan di litar lumba.

Dari segi aerodinamik, penambahan seperti lubang udara pada bonet, skup bumbung dengan sirip, serta diffuser dan spoiler yang besar membolehkan jentera ini menjana 1,000 kg dowforce pada kelajuan 320 km/j. Sementara itu, speasang lubang ambilan udara pada bahagian hadapan membantu menyejukkan brek dan menyalurkan udara ke bahagian sisi.

Bercakap tentang brek, Huayra R didatangkan dengan cakera Brembo CCM-R berukuran 410 mm di hadapan dan 390 mm di belakang, berserta angkup enam piston. Ia tersembunyi di sebalik rim aluminium aloi APP berukuran 19 inci yang dibalut tayar slick Pirelli P Zero.

Pagani hanya akan menghasilkan 30 unit Huayra R dan setiap satu dijual pada harga bermula dari 2.6 juta euro (RM12.74 juta).

Previous post

Kereta Elektrik Cat Ora ES11 Spotted Di Malaysia

Next post

Beberapa Idea Kit Badan Untuk Perodua Ativa Anda

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *