Motosikal / Lain Lain Roda

Aprilia RS660 Mendarat Di Malaysia – RM60k

Didi Resources Sdn Bhd, selaku pengedar rasmi jenama Aprilia di Malaysia hari ini melancarkan Aprilia RS660 serba baharu yang dijangka dapat memacu kebangkitan semula motosikal segmen pertengahan.

Model ini dikuasakan oleh enjin dua silinder selari bersesaran 659 cc yang mencapai homologasi Euro 5. Apa yang menarik, ia mempunyai beberapa elemen daripada enjin 1,100 cc V4 seperti kepala silinder, kebuk pembakaran, silinder, piston serta ukuran gerek (bore) 81 mm.

Hasilnya, enjin ini mampu menghasilkan 100 hp pada 10,500 rpm dan 67 Nm pada 8,500 rpm. 80 peratus daripada tork itu boleh dirasai seawal 4,000 rpm dan meningkat kepada 90 peratus pada 6,250 rpm. Selain itu, pemasaan injap dengan susulan 270 darjah menghasilkan pembakaran tidak simetri lalu memberikan enjin itu bunyi yang seakan enjin V berkembar.

RS660 didatangkan dengan rekaan fairing berkembar yang aerodinamik, dipadankan dengan lampu hadapan ‘triple’ LED bersama fungsi Daytime Running Light (DRL). Lampu tersebut dilengkapi dengan sensor ‘twilight’ yang akan mengaktifkan lampu suluh rendah secara atuomatik serta ciri Cornering Light.

Casis RS660 diberikaan rekaan yang langsing dengan kerangka yang digabungkan dengan lengan ayun aluminium. Ukuran tapak roda 1,370 mm dan sudut kecondongan ‘steering head’ 24.1 darjah menyumbang kepada keselesaan ergonomik dan kawalan yang baik.

Sistem suspensi terdiri daripada fork terbalik boleh laras 41 mm keluaran Kayaba dan penyerap hentak tunggal. Untuk brek pula, model ini menggunakan cakera berkembar 320 mm di hadapan dan cakera tunggal 220 mm di belakang, bersama dengan angkup radial Brembo.

Tayar yang digunakan adalah Pirelli Diablo Ross Corsa II berukuran 120/70 R17 di hadapan dan 180/55 R17 di belakang yang dikatakan menawarkan tahap cengkaman terbaik sama ada di jalan raya atau litar lumba.

Sementara itu, sistem elektronik pula menampilkan platform inersia 6-paksi yang menggunakan accelerometer dan gyroscope untuk ‘membaca’ keadaan semasa jentera. Turut disertakan adalah Aprilia Performance Ride Control (APRC) yang terdiri daripada:

  • Aprilia Traction Control (ATC)
  • Aprilia Wheelie Control (AWC)
  • Aprilia Cruise Control (ACC)
  • Aprilia Quick Shift (AQS)
  • Aprilia Engine Brake (AEB)
  • Aprilia Engine Map (AEM)
  • Cornering ABS

Penunggang juga boleh memilih dari lima mod tunggangan yang disediakan iaitu Commute, Dynamic, Individual, Challenge dan Time Attack. Ciri ini boleh diakses menerusi paparan TFT berwarna yang juga boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi Aprilia MIA.

RS660 boleh didapati dalam dua warna iaitu Lave Red yang diinspirasikan oleh RS 250 1994 versi Reggiani Replica, dan Apex Black. Ia ditawarkan pada harga pengenalan RM59,900 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Previous post

Volkswagen Taigo Bakal Dilancarkan Di Eropah

Next post

Konsep Lexus LF-Z Dipertonton Dengan Banyak Lagi Elektrik Tidak Lama Lagi

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *