Berita Auto

Toyota Gondol 5 Anugerah Di Grand Prix ASEAN NCAP

Toyota telah meraih beberapa anugerah bagi teknologi keselamatan terbaik dalam kelasnya serta Anugerah Kecemerlangan sebagai sebuah jenama dengan anugerah 5-bintang paling banyak antara 2019 hingga 2020. Dalam tempoh itu, sebanyak tujuh model Toyota telah menerima penarafan lima-bintang secara keseluruhan, lebih banyak berbanding jenama lain.

Disebabkan penularan pandemik, Anugerah Grand Prix ASEAN NCAP Ke-4 telah diumumkan secara dalam talian pada 16 Februari lalu. Acara dua tahun sekali diadakan bagi meraikan pihak yang memberikan komitmen tinggi terhadap keselamatan dalam kenderaan di rantau ini.

Sejak beberapa dekad lalu, Toyota komited untuk mempertingkatkan keselamatan kenderaan secara berterusan. Selain rekaan kenderaan, syarikat itu juga sudah membangunkan banyak teknologi lainnya yang bukan saja mempertingkatkan lagi perlindungan, tetapi turut menetapkan tahap baru dalam industri automotif.

“Toyota bersungguh untuk mempertingkatkan teknologi keselamatan dan dalam kenderaan yang dikeluarkan secara berterusan, sebagai sebahagian usaha keseluruhan ke arah keselamatan jalan raya dan kenderaan yang lebih selamat, dengan tumpuan terhadap tiga unsur terpenting – kenderaan (memajukan teknologi keselamatan), insan (mendidik pemandu, penumpang dan pejalan kaki ke arah keselamatan trafik) dan persekitaran trafik (menyokong prasarana trafik yang lebih selamat),” jelas Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama.

Daripada 12 kategori berkaitan pengeluar kenderaan serta kenderaan bermotor, Toyota menang dalam lima kategori. Corolla Altis, Hilux dan Innova merupakan penerima Anugerah Kecemerlangan bagi Penambahbaikan Berterusan Keselamatan dalam segmen masing-masing, manakala Majesty/Granvia diiktiraf dengan Anugerah Prestasi Keselamatan Terbaik Bagi Sistem Bantuan Keselamatan.

“Semua anugerah daripada ASEAN NCAP ini mengesahkan pendekatan Toyota Synergized Mobility untuk membawa ke hadapan kepimpinan teknologi Toyota yang akan digunakan untuk menjadikan kereta keluaran kami lebih baik,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.

“Hari ini, kebanyakan model Toyota di Malaysia dilengkapi dengan Toyota Safety Sense, sebuah konsep Pengurusan Keselamatan Bersepadu yang menghubungkan teknologi dan sistem keselamatan individual untuk saling berkerjasama di dalam pelbagai tahap operasi kenderaan, dari parkir hinggalah kepada keselamatan canggih, keselamatan pra perlanggaran, keselamatan pertembungan dan menyelamat.”

Previous post

Lotus Mempersembahkan Kepada Anda Rupa Kereta F1 Masa Depan

Next post

Kini Anda Boleh Langgan Subaru BRZ Dan WRX Dengan GoCar Subs

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *