Berita Auto

Porsche 911 GT3 Dibuka Untuk Pra-Tempahan Di Malaysia

Sejak 1999, Porsche menghasilkan 911 GT3 untuk menunjukkan bahawa kepakaran mereka dalam sukan permotoran boleh diaplikasikan pada model jalanan. Konsep ini diteruskan sehinggalah ke hari ini dengan pengenalan model generasi ketujuh yang lebih pantas berbanding edisi-edisi terdahulu.

‘Nadi’ yang menggerakkan 911 GT3 baharu adalah enjin aspirasi natural enam silinder bersesaran 4.0-liter yang diambil daripada kereta lumba 911 GT3 Cup. Boleh dipadankan dengan transmisi klac berkembar PDK tujuh kelajuan atau manual enam kelajuan, enjin tersebut menghasilkan 502 hp dan 470 Nm.

Menurut Porsche, jika dilengkapi dengan PDK, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 318 km/j. Kemampuannya untuk beraksi di litar terbukti dengan catatan masa 6 minit 59.927 di litar Nürburgring Nordschleife (20.8 km), sekaligus mengalahkan versi terdahulu dengan perbezaan masa 13 saat.

Selain enjin kereta lumba, ciri aerodinamik yang dikemas kini juga banyak menyumbang kepada prestasi 911 GT3 baharu ini. Ia bermula dengan bampar hadapan yang kini menempatkan lubang ambilan udara yang besar yang diapit dengan sepasang inlet. Terdapat juga dua lubang udara pada bahagian bonet bagi membantu mempercepatkan proses penyejukan.

Perubahan pada bahagian belakang juga agak ketara, dengan kehadiran spoiler ‘leher angsa’ (swan neck) yang diinspirasikan oleh spoiler 911 RSR. Ia boleh dilaraskan secara manual untuk meningkatkan downforce. Bukan itu sahaja, diffuser juga direka semula bagi tujuan yang sama.

Tidak cukup dengan aerodinamik, casis 911 GT3 turut diberi penambahbaikan untuk pengendalian yang lebih lincah. Ia hadir dalam bentuk suspensi ‘wishbone’ berkembar pada bahagian hadapan yang diinspirasikan oleh jentera lumba Porsche. Sementara itu, suspensi belakang pula kekal dengan rekaan ‘multi-link’ seperti yang terdapat pada 911 standard.

Walaupun mempunyai badan yang lebih lebar, rim lebih besar serta pelbagai kelengkapan teknikal baharu, berat 911 GT3 tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan model sebelum ini iaitu 1,418 kg bagi versi manual atau 1,435 kg bagi versi PDK.

Ini dicapai menerusi penggunaan bahan-bahan ringan seperti bonet gentian karbon-plastik yang diperkuatkan (CFRP), tingkap kaca ringan, cakera brek yang dioptimumkan serta rim aloi tempaan. Bukan itu sahaja, sistem ekzos sport yang digunakan juga lebih ringan sebanyak 10 kg.

Di dalam, satu ciri baharu yang disertakan adalah skrin trek yang berfungsi untuk memberikan paparan yang lebih ringkas untuk pemanduan di litar lumba. Antara maklumat yang akan dipaparkan pada skrin ini termasuklah tekanan angin tayar, tekanan minyak, suhu minyak, baki bahan api serta suhu air.

Pemilik 911 GT3 yang ingin memberikan sentuhan peribadi kepada jentera mereka boleh mendapatkan pelbagai aksesori tambahan dalam rangkaian Porsche Exclusive Manufaktur. Antara aksesori yang ditawarkan adalah bumbung gentian karbon. lampu LED matrix, kemasan Guards Red atau Shark Blue pada rim dan jam randik Sport Chrono.

Menurut Sime Darby Auto Performance (SDAP) iaitu pengedar rasmi Porsche di Malaysia, model ini sudah dibuka untuk pra-tempahan di semua bilik pamerannya di Ara Damansara, Sungai Besi, Pulau Pinang dan Johor Baharu. Bagaimanapun, harga masih belum diumumkan.

Previous post

Mitsubishi Outlander Generasi Ke-4 Diperkenalkan

Next post

Pemasangan Tempatan Porsche Akan Mengurangkan AP Pengimportan Terpakai

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *