Berita Auto

MINI Countryman Versi Facelift Dilancarkan Di Malaysia

Acara BMW Group Malaysia yang diadakan hari ini bukan sahaja menyaksikan pelancaran beberapa model BMW dan BMW Motorrad, malah juga MINI Countryman versi facelift.

Varian Cooper S ditawarkan pada harga RM244,265.76 manakala varian hibrid plug-in (PHEV) iaitu Cooper SE pula berharga RM254,461.84. Harga-harga berkenaan adalah termasuk pengecualian cukai jualan dan pakej servis dan penyelenggaraan empat tahun.

Kedua-dua varian didatangkan dengan pakej ALL4 Exterior Optic yang memberikan elemen perhiasan pada bampar hadapan dan belakang, serta kemasan hitam berkilat pada lampu hadapan dan belakang, gril radiator dan fender.

Varian Cooper S tampil dengan rim 19 inci MINI Turnstile Spoke manakala Cooper SE pula mendapat rim MINI Yours British Spoke, juga bersaiz 19 inci. Lampu LED automatik, tailgate automatik, Comfort Access dengan Easy Opener serta Picnic Bench turut disertakan secara standard.

Ruang dalaman kedua-dua varian dihiasi dengan kokpit MINI Yours Illuminated dalam warna Shaded Silver, pelapik bumbung Satellite Grey dan upholsteri Leather Cross Punch dalam warna Carbon Black. Stereng pula menampilkan balutan kulit Nappa.

Kelengkapan pula terdiri daripada kluster instrumen digital berukuran lima inci yang diletakkan di belakang stereng, skrin sentuh 8.8 inci yang telah dinaik taraf serta paparan Head-Up. Hiburan pula dibekalkan oleh sistem audio Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

Sistem Driving Assistant didatangkan standard pada kedua-dua varian. Ia mempunyai ciri-ciri seperti bantuan lampu tinggi, maklumat had kelajuan, amaran pejalan kaki, fungsi brek bandar, kawalan amaran pendekatan.

Cooper S Countryman dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder dengan 192 hp dan 280 Nm. Dengan transmisi automatik tujuh kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 226 km/j.

Sementara itu, Cooper SE Countryman pula mempunyai enjin turbo 1.5-liter dan sebuah motor elektrik. Gandingan ini menghasilkan 224 hp dan 385 Nm, membolehkan ia melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 6.8 saat. Kelajuan maksimum varian ini adalah 194 km/j.

Dengan teknologi eDrive dan pek bateri 10 kWj, ia boleh dipandu dengan kuasa elektrik sejauh 48 km. Ia boleh dicas sepenuhnya dalam masa lima jam menerusi pengecas 2.3 kW atau tiga jam setengah menerusi stesen pengecas awam 3.7 kW.

Previous post

BMW X7 Versi CKD Bakal Dilancarkan - RM708,000

Next post

Ferrari Sertai Era Le Mans Hypercar

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *