Cerita Auto

Land Rover Defender Kini Dengan Kuasa V8

Land Rover telah melancarkan Defender V8 baharu, varian paling berkuasa dalam barisan model Defender. Seperti varian-varian lain yang diperkenalkan sebelum ini, ia boleh didapati dalam versi 90 dan 110.

Penawaran terbaharu dari pengeluar SUV terkemuka itu mempunyai 525 PS dan 625 Nm tork yang dibekalkan oleh enjin supercharged V8 bersesaran 5.0 liter. Pecutan 0-100 km/j boleh dilengkapkan dalam 5.2 saat bagi varian 90 atau 5.4 saat bagi 110. Kelajuan maksimum pula adalah 240 km/j.

Enjin berkuasa tinggi itu dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda. Untuk model V8 ini, Electronic Active Rear Differential disertakan secara standard, begitu juga dengan Yaw Controller yang mampu menyumbang kepada pengendalian yang lebih mantap.

Aspek casis turut diberi penekanan khusus menerusi penggunaan sesendal (bushing) yang lebih keras dan anti-roll bar yang lebih besar. Bukan itu sahaja, sistem redaman yang ditala semula serta mod pemanduan Dynamic memberikan SUV ini tindak balas stereng yang lebih responsif.

Dari segi penampilan, Defender V8 lebih menonjol berbanding varian-varian lain dengan lencana ‘V8’, muncung ekzos quad, rim aloi 22 inci berwarna Satin Dark Grey serta angkup brek Xenon Blue. Ia boleh didapati dalam tiga warna iaitu Carpathian Grey, Yulong White dan Santorini Black. Dua warna pertama itu didatangkan dengan bumbung Narvik Black.

Ruang dalaman dihiasi dengan upholsteri kulit Windsor berwarna Ebony, dengan aksen suede Miko dan Robustec. Stereng dibalut dengan material Alcantara, manakala penutup beg udara dan tuil gear pula dibalut dengan kulit. Turut disertakan adalah paddle shifter krom satin.

Pelanggan yang inginkan penampilan lebih agresif boleh mendapatkan Defender V8 Carpathian Edition. Ia didatangkan dalam warna Carpathian Grey, dengan warna Narvik Black pada bumbung, bonet dan tailgate, dan kemasan Satin Black pada cangkuk tunda. Selain itu, ia juga mendapat balutan PU satin yang menawarkan perlindungan daripada kesan calar.

Previous post

7 Honda Edisi Istimewa Untuk Dimenangi Menerusi Kempen '1 Million Dreams'

Next post

Proton X50 Hentam Kancil Berhampiran Tol Jambatan Pulau Pinang

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *