Berita Auto

Kia Jenama Pasaran Massa Paling Boleh Diharap Di AS

Kaji Selidik Keboleharapan Kenderaan (VDS) JD Power bagi pasaran Amerika Syarikat telah diumumkan dan nampaknya Kia telah menduduki tangga pertama dalam kategori jenama pasaran massa dengan markah 97 masalah bagi setiap 100 kenderaan (PP100).

Kaji selidik keboleharapan JD Power mengukur jumlah masalah yang dialami oleh pemilik kenderaan yang telah mencapai usia tiga tahun. Ini bermakna kajian tahun ini disasarkan kepada kenderaan keluaran tahun 2018. Lebih 33,000 pemilik kenderaan menyertai kaji selidik yang berlangsung dari Julai hingga November 2020 ini.

Kajian ini merangkumi 177 masalah khusus yang dikelompokkan dalam lapan kategori utama: audio/komunikasi/hiburan/navigasi (ACEN); enjin/transmisi; luaran; dalaman; ciri/kawalan/paparan (FCD); pengalaman memandu; pemanasan, pengudaraan dan penyaman udara; dan tempat duduk.

Menurut JD Power, Kia menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan dengan pengurangan sebanyak 35 PP100 berbanding pencapaiannya pada tahun 2020, sekaligus meletakkan jenama Korea Selatan itu di tangga teratas buat pertama kalinya. Dengan penjenamaan semula yang diumumkan baru-baru ini, mampukah Kia mempertahankan kedudukannya bagi tahun-tahun mendatang?

Sementara itu, jenama-jenama Korea yang lain tidak kurang hebatnya. Hyundai menduduki tempat ketujuh dalam kajian keboleharapan itu dengan markah 101 PP100 manakala divisyen mewahnya iaitu Genesis berada di tempat kelapan dengan 102 PP100. Ketiga-tiga jenama berkenaan mempunyai markah purata 99 PP100, iaitu 19 mata lebih rendah berbanding markah purata jenama-jenama Jepun.

Bagi ranking keseluruhan pula, Lexus dinobatkan sebagai jenama paling boleh diharap dengan markah 81 PP100, manakala Porsche menduduki tempat kedua dengan 86 PP100. Walaupun begitu, 911 dinamakan sebagai model dengan keboleharapan tertinggi bagi kaji selidik tahun ini, manakala Macan dinobatkan sebagai SUV premium kompak yang paling boleh diharap.

Tiga tangga tercorot pula dihuni Jaguar, Alfa Romeo serta Land Rover, masing-masing dengan markah 186 PP100, 196 PP100 dan 244 PP100. Tesla, yang pertama kali menyertai kaji selidik ini, berada di tangga keempat tercorot dengan 176 PP100.

Previous post

Kini Anda Boleh Beli Kereta Terpakai Volvo Secara Dalam Talian

Next post

Bahagian BMW i Kini Berusia Sepuluh Tahun

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *