Motosikal / Lain Lain Roda

E-skuter Ini Diinspirasikan Oleh Jentera MotoGP Ducati

Sejak kebelakangan ini, populariti skuter elektrik atau e-skuter semakin meningkat di kalangan penduduk bandar. Ini kerana ia sesuai untuk digunakan untuk perjalanan dalam jarak yang tidak dapat dilakukan dengan berjalan kaki, di samping seronok ditunggang, mampu milik dan mesra alam.

Maka, tidak hairanlah jika pengeluar-pengeluar motosikal mula menceburi pasaran yang sedang pesat membangun itu. Ini termasuklah Ducati yang terkenal dengan barisan motosikal berkuasa tingginya. Pada 2019, pengeluar motosikal dari Itali itu menjalinkan kerjasama dengan Vmoto, sebuah syarikat dari Nanjing yang menghasilkan dan menjual skuter dan moped elektrik di bawah jenama Super Soco. Apa yang anda lihat ini adalah produk pertama yang lahir menerusi kerjasama antara dua syarikat itu.

Dikenali sebgai CUx Ducati Edition, e-skuter ini menampilkan livery merah, putih, hitam dan kelabu ikonik yang diinspirasikan daripada jentera MotoGP Ducati Corse Desmosedici GP18. Skema warna yang dikenakan ini ringkas namun cukup menyerlah untuk menarik perhatian sesiapa sahaja yang melihatnya.

CUx dikuasakan oleh sebuah motor elektrik berkapasiti 2700 W keluaran Bosch yang mendapat tenaganya daripada bateri lithium-ion 60 V/32 Ah yang diletakkan di bawah tempat duduk. Konfigurasi ini menawarkan jarak tunggangan sejauh 75 km dengan satu cas penuh dan jika terdapat tenaga yang mencukupi, ia boleh mencapai kelajuan maksimum 45 km/j. Pengecasan mengambil masa kira-kira tujuh jam menerusi outlet kuasa konvensional atau tiga jam setengah menerusi fasiliti pengecasan pantas.

Skuter seberat 72 kg ini dibina menggunakan rangka tiub keluli ‘single cradle’ yang dipadankan dengan fork pada bahagian dan penyerap hentak berkembar pada bahagian belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera berukuran 180 mm yang dipasang pada kedua-dua tayar.

Kelengkapan standard lain yang terdapat pada model ini adalah lampu LED berbentuk U, lampu belakang LED, serta panel instrumen digital dengan fungsi ketersambungan telefon pintar. Ia juga dilengkapi dengan sistem pengurusan bateri yang menawarkan perlindungan terhadap litar pintas dan sebagainya.

CUx Ducati Edition dijual di UK pada harga £2,299 (RM12,842), iaitu £200 (RM1,117) lebih mahal berbanding versi standard.

Previous post

Ford S-Max, Galaxy Kini Dengan Kuasa Hibrid

Next post

Porsche Taycan Cipta Rekod Kereta Terpantas Di Dalam Bangunan Tertutup

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *