Bisnes

Jualan EV Di Eropah Naik 147% Pada 2020

2020 merupakan tahun yang sukar untuk keseluruhan industri automotif namun data jualan yang dikumpulkan oleh JATO Dynamics ini menunjukkan yang walaupun dilanda krisis ekonomi akibat pandemik COVID-19, tahun lalu tidaklah seteruk yang disangka.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada 23 pasaran di Eropah, jumlah kereta elektrik dan hibrid plug-in (EV) dibenua itu meningkat lebih dua kali ganda pada tahun 2020 berbanding 2019, dengan pertumbuhan sebanyak 147% dari 575,000 kepada 1.42 juta unit terjual. Angka tersebut mewakili 12% daripada jumlah keseluruhan kenderaan penumpang baharu yang didaftarkan sepanjang tahun lalu.

Perlu diingat bahawa JATO telah memperbaharui definisi ‘kenderaan elektrik’ mereka, yang kini merangkumi kenderaan elektrik tulen (Battery Electric Vehicle atau BEV) dan hibrid plug-in (Plug-in Hybrid Electric Vehicle atau PHEV). Model hibrid (Hybrid Electric Vehicle atau HEV) dan hibrid ringkas (mild-Hybrid Electric Vehicle atau mHEV) jatuh dalam kategori enjin pembakaran dalam (ICE).

Volkswagen Group merupakan penggerak utama dalam peningkatan kenderaan elektrik di Eropah, dengan satu daripada empat BEV yang dijual adalah daripada gergasi automotif Jerman itu. Namun ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan memandang kumpulan itu mempunyai barisan EV yang luas yang merangkumi model-model seperti Porsche Taycan, Audi E-Tron, dan Seat Mii/Volkswagen Up/Skoda Citigo.

Apa yang lebih mengejutkan, Renault Zoe muncul sebagai BEV paling laris di Eropah dengan 99,261 unit terjual, naik 118% berbanding 2019. Tesla Model 3 bukan sahaja disingkirkan dari takhta oleh supermini Perancis itu, malah jualannya juga menunjukkan penurunan sebanyak 9%. Volkswagen ID.3 pula menunjukkan permulaan yang hebat dengan 56,118 unit terjual dalam tempoh beberapa bulan sahaja di pasaran.

Sementara itu, Mercedes-Benz berjaya memintas Mitsubishi sebagai jenama paling laris dalam segmen PHEV di Eropah bagi tahun 2020. Sebahagian besar daripada kejayaan itu datang dari A-Class PHEV yang mengalahkan pendahulu sebelum ini iaitu Outlander dengan perbezaan hampir 3,000 unit. Volkswagen Passat GTE menikmati pertumbuhan yang besar iaitu 397% namun masih gagal mengalahkan Volvo XC40 Recharge.

Previous post

Geely Dan Faraday Future Menandatangani Perjanjian Kerjasama

Next post

Mengapa Pengilang Kereta Mengabaikan After Sales

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *