Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Hyundai Motor Group Bakal Lancar Beberapa Model EV Tahun Ini

Dalam ucapan tahun baru yang ditujukan kepada kakitangannya, Pengerusi Hyundai Motor Group Euisun Chung turut menggariskan hala tuju strategik dan komitmen syarikat bagi tahun 2021 dan seterusnya.

Fokus utama Hyundai bagi tahun ini adalah untuk menjadi pemain utama dalam segmen elektrik di peringkat global. Kumpulan itu akan melancarkan beberapa model kenderaan elektrik (EV) yang dibina di atas platform E-GMP, termasuk Hyundai Ioniq 5, serta crossover elektrik Kia dan Genesis.

Diperkenalkan pada tahun lalu, E-GMP merupakan platform EV pertama di dunia yang menawarkan sistem multi-pengecasan yang mampu menampung kapasiti pengecasan 400V dan 800V.

Model yang menggunakan platform ini dikatakan mempunyai jarak pemanduan maksimum 500 km dengan satu cas penuh, manakala pengecasan kuasa bateri hingga 80% boleh dicapai dalam hanya 18 minit dan jarak pemanduan sejauh 100 km boleh ditambah dalam tempoh lima minit sahaja.

Selain itu, Hyundai Motor Group juga merancang untuk memperkembangkan barisan EV-nya dari lapan model yang sedia ada kepada 23 menjelang 2025, dengan sasaran jualan global sebanyak 1 juta unit setahun.

Selari dengan sasaran yang telah ditetapkan, kumpulan itu juga akan membina 20 stesen pengecasan pantas di Korea pada tahun ini dan akan memperluaskan rangkaian pengecasannya dengan kerjasama syarikat tenaga.

Di luar negara, Hyundai Motor Group merancang untuk mewujudkan infrastruktur pengecasan EV yang sesuai dengan pasaran tempatan menerusi kerjasama dengan pelbagai rakan niaga, termasuk IONITY, rangkaian pengecasan berkuasa tinggi yang ternama di Eropah.

Previous post

Facelift Model Bentley Bentayga Hybrid Dilancarkan

Next post

Hyundai Dan Kia Menjangka Peningkatan Jualan Kereta Pada 2021

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *