Berita Auto

300 SL ‘Speedster’ Ini Mempunyai Enjin Supercharged AMG

Restomod dilihat semakin popular di kalangan peminat kereta dan kami menjangkakan trend ini akan kekal lama kerana ia membolehkan sesiapa sahaja mempertingkatkan kereta klasik kegemaran mereka dengan teknologi moden mengikut cita rasa masing-masing.

John Sarkisyan atau lebih dikenali sebagai Slang500 bukanlah nama yang asing dalam dunia restomod. Syarikat milik Sarkisyan iaitu S-Klub telah menghasilkan beberapa kenderaan restomod yang menarik sejak beberapa tahun lalu. Yang paling terkenal setakat ini adalah 300 SL Gullwing yang dibina pada 2018. Namun nampaknya populariti jentera klasik itu bakal merosot dengan kehadiran rekaan terbaru Sarkisyan iaitu 300 SL Speedster.

Sudah tentu, Mercedes-Benz tidak pernah menghasilkan model 300 SL Speedster secara rasmi dan oleh sebab itu, Sarkisyan mengambil keputusan untuk membina sebuah untuk dirinya sendiri. Walaupun hasilnya kelihatan tidak ubah seperti sebuah 300 SL asli dengan beberapa modifikasi, kereta yang anda lihat ini sebenarnya adalah sebuah SLK 32 AMG keluaran 2002. Badannya diperbuat daripada gentian kaca dan Sarkisyan tidak mempunyai sebarang masalah untuk memadankannya dengan casis SLK memandangkan kedua-kedua model tersebut mempunyai ukuran tapak roda (wheelbase) yang hampir sama.

Mungkin ada yang kecewa mengetahui bahawa jentera yang bergaya ini bukanlah sebuah 300 SL sebenar namun ia masih mempunyai beberapa komponen OEM seperti lencana, gril, bezel lampu, lampu isyarat membelok dan lain-lain. Menariknya, cermin penghadang angin diambil daripada sebuah Porsche 356 Speedster. ‘Over fender’ yang lebar berserta rim HRE yang dibalut tayar Toyo digunakan untuk memberikan kereta ini penampilan yang garang.

Seperti yang anda boleh lihat, keseluruhan ruang dalaman dibalut dengan upholsteri kulit berwarna merah dengan beberapa bahagian dihiasi dengan fabrik plaid. Papan pemuka asal 300 SL digunakan namun ia telah dimodifikasi supaya sesuai dengan cermin penghadang angin tersebut, manakala kerusi adalah daripada Porsche. Ciri paling menarik (selain tombol gear tembaga) adalah roda stereng kustom yang dihasilkan khas oleh Budnik.

Di belakang kabin, tersembunyi di bawah penutup bermotor adalah sistem audio kustom McIntosh. Seperti kabin, ruang ini dihiasi dengan upholsteri kulit merah yang mewah. Bahan yang sama turut digunakan untuk menaikkan seri ruang but, di mana bateri dan pam untuk sistem air-lift disimpan.

300 SL Speedster ini dikuasakan oleh enjin AMG 3.2-liter supercharged V6 yang merupakan enjin asal SLK 32. Sarkisyan telah menaik taraf enjin ini dengan beberapa komponen tembaga, manakala ekzosnya bukan terletak di belakang tetapi di bahagian tepi. Kuasa enjin ini tidak didedahkan namun tanpa sebarang modifikasi, ia mampu menghasilkan 354 hp dan 450 Nm.

Previous post

BMW Dan MINI Umum Senarai Harga Baharu

Next post

Honda Odyssey Tampil Sporty Dengan Pakej Mugen

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *