Motosikal / Lain Lain Roda

Vespa GTS 300 HPE Super Tech Tiba di Malaysia – RM33,300

Didi Resources kini sedang giat memperkembangkan barisan model Vespa sebelum 2020 berakhir. Selepas melancarkan edisi Primavera Sean Wotherspoon dan Primavera [RED], syarikat itu kini memperkenalkan pula GTS 300 HPE Super Tech yang merupakan model paling canggih dalam barisan GTS. Ia juga penawaran yang paling mahal dalam barisan itu dengan harga jualan RM33,300.

Dari segi penampilan, GTS Super Tech boleh dibezakan menerusi perincian berwarna kuning di bahagian sisi badan, penyerap hentak hadapan, rim dan bahagian hadapan. Bukan itu sahaja, tempat duduknya juga dihiasi dengan jahitan kontras kuning. Terdapat dua warna badan yang boleh dipilih iaitu Black Vulcano dan Grey Materia.

Model itu juga menetapkan penanda aras yang tinggi dari segi teknologi dengan kluster instrumen digital yang mempunyai paparan TFT warna berukuran 4.3 inci. Selain memaparkan maklumat penting seperti kelajuan, perbatuan, suhu dan tahap bahan api, unit itu juga berfungsi dengan sistem penyambungan telefon pintar Vespa Mia.

Dengan menyambungkan telefon pintar mereka kepada sistem tersebut menerusi Bluetooth, pemilik boleh mengawal fungsi-fungsi lain seperti navigasi, panggilan, mesej dan muzik menerusi arahan suara. Paparan ini boleh dikawal menerusi joystick yang terletak pada bahagian kiri bar hendal. Untuk sistem navigasi tersebut, pemilik perlu memuat turun aplikasi Vespa untuk memilih jalan yang telah ditetapkan, termasuk lokasi semua pusat servis di dalam negara. Aplikasi itu turut menyediakan maklumat tambahan seperti status kenderaan, parameter tunggangan serta statistik perjalanan.

GTS Super Tech dikuasakan oleh enjin 300 HPE (High Performance Engine). Dengan sesaaran 278 cc, enjin silinder tunggal empat lejang itu menghasilkan 23.8 hp pada 8,250 rpm dan 26 Nm pada 5,250 rpm. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 12% dan 18% berbanding sebelum ini. Enjin baharu ini turtu digunakan pada edisi Sei Giorni II.

Dari segi keselamatan, GTS Super Tech dilengkapi dengan ABS, ASR (kawalan cengkaman) dan brek cakera pada bahagian hadapan dan belakang. Ciri-ciri kemudahan lain yang turut disertaka termasuklah lampu LED, kunci kawalan jauh dengan Bike Finder serta port USB di dalam kotak penyimpanan.

Previous post

Prebiu Hyundai Elantra Generasi Ke 7

Next post

Bermaz Lancar Laman Web Sendiri Untuk Membeli / Menjual Mazda Terpakai Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *