Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Produksi Mitsubishi Outlander PHEV Di Thailand Sudah Bermula

Mitsubishi Motors Corporation (MMC) telah memulakan produksi Outlander PHEV untuk pasaran Thailand di kilang pemasangan Laemchabang. Penyerahan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) itu dijangka bermula pada Januari 2021.

Menurut Mitsubishi, mereka memilih Thailand sebagai hab produksi luar negara pertama Outlander PHEV disebabkan potensi pertumbuhan pasaran automotif Thailand yang didorong oleh promosi mobiliti elektrik serta kapasiti produksi kilang Laemchabang yang tinggi.

Thailand merupakan negara ASEAN ketiga yang menerima Outlander PHEV selepas Indonesia dan Filipina, namun ini merupakan kali pertama SUV itu dipasang di luar Jepun.

Untuk pasaran Thailand, Outlander PHEV ditawarkan dalam dua varian dengan harga bermula dari 1,640,000 baht (RM220,435) untuk varian GT dan 1,749,000 (RM235,086) untuk GT-Premium. Ia menampilkan gabungan enjin MIVEC DOHC 2.4 liter (128 PS/199 Nm) dengan dua buah motor elektrik yang menghasilkan 82 PS/137 Nm pada gandar hadapan dan 95 PS/195 Nm pada gandar belakang.

Kuasa disalurkan ke roda menerusi sistem Super All-Wheel Control (SAWC), dengan tiga mod pemanduan iaitu EV Drive, Series Hybrid dan Parallel Hybrid. Dari segi pengecasan, bateri lithium-ion itu memerlukan empat jam untuk pengecasan penuh menerusi pengecas biasa dan 25 minit untuk mencapai tahap kuasa 80% menerusi pengecas pantas CHAdeMO.

Previous post

Volkswagen Ucap Selamat Tinggal Kepada e-Golf

Next post

Bagaimana Proton X50 Mendapat Penarafan Lima Bintang ASEAN NCAP

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *