Bisnes

Perodua Catat Jualan 23,119 Unit Pada November 2020

Perodua telah mengumumkan bahawa mereka telah berjaya menjual 23,119 unit kenderaan pada November 2020. Jumlah ini termasuk 5,027 unit yang terjual pada hari ke-30, angka pendaftaran harian tertinggi yang pernah dicapai syarikat itu.

“Jualan November kami memaparkan sedikit penormalan daripada pencapaian dua bulan rekod kami sebelum ini – 25,035 unit pada September dan 26,852 pada Oktober,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Dengan jualan 6,295 Myvi, 6,318 Axia, 6,224 Bezza, 2,617 Aruz dan 1,665 Alza pada November, jualan Perodua setakat tahun ini telah mencecah 195,000 kenderaan. Berdasarkan momentum jualannya, syarikat itu berada di landasan yang tepat untuk mencapai sasaran akhir tahun ini iaitu 210,000 unit.

Tambah Dato’ Zainal lagi, dua keutamaan Perodua pada masa ini adalah untuk memastikan seramai mungkin pelanggan menerima kenderaan mereka sebelum akhir tahun untuk menikmati harga tanpa cukai jualan; serta untuk terus menyokong ekosistem automotif Malaysia.

“Lebih 90% daripada komponen kami diperoleh secara tempatan, dan ditambah dengan jumlah jualan kami, ini menjana perniagaan yang signifikan bagi para pembekal tempatan dan membantu mereka mengekalkan pekerjaan,” ujar Dato’ Zainal.

“Kenderaan kami kemudian diedarkan melalui rangkaian jualan kenderaan terbesar di Malaysia, yang kebanyakannya terdiri daripada peniaga bebas yang mendapat manfaat daripada jualan kenderaan kami, dan lebih lagi jika mereka juga menawarkan servis dan pembaikan,” tambah beliau.

Previous post

Toyota Hentikan Jualan Lima Model JDM

Next post

Yamaha NMax Baharu Dilancarkan di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *