Berita Auto

Bentley Bacalar Dalam Fasa Ujian Terakhir

Model Grand Tourer dua tempat duduk tanpa bumbung yang dibangunkan oleh Bentley Mulliner iaitu Bacalar kini sudah berada dalam fasa ujian terakhir. Ia merupakan model pertama dalam portfolio ‘Coachbuilt’ syarikat itu dan dijangka memasuki fasa produksi bermula tahun hadapan.

Menurut Bentley, Bacalar telah mengikuti jadual ujian yang ketat sejak 20 minggu yang lalu. Setakat ini, model edisi terhad itu sudah melalui penilaian aerodinamik di dalam terowong angin, kestabilan kelajuan tinggi, pengendalian dan dinamik, hingar dan getaran, serta pengukuran termal.

Bukan itu sahaja, ujian kelajuan maksimum yang dilakukan sebelum ini menunjukkan bahawa jentera itu mampu mencecah kelajuan melebihi 322 km/j walaupun tidak mempunyai bumbung.

Bacalar kini memasuki fasa ujian ketahanan sebelum ujian iklim bersuhu sehingga 80 darjah Celsius dan seterusnya pengesahan sistem elektrik yang intensif. Semua ini penting bagi memastikan model ini sedia untuk diserahkan kepada pelanggan, terutamanya kerana ia mempunyai 750 komponen baharu dengan 40 daripadanya diperbuat daripada gentian karbon.

Di bawah hud, terdapat enjin TSI 6.0-liter dwi-turbo W12 yang mampu menghasilkan 659 PS dan 900 Nm. Kuasa disalurkan oleh transmisi automatik lapan kelajuan menerusi sistem pacuan semua roda aktif yang ditugaskan untuk mengagihkan tork antara roda hadapan dan belakang.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, hanya 12 unit Bacalar akan dihasilkan dan semuanya sudah pun mempunyai pemilik masing-masing. Model ini akan dipasang di bengkel Bentley Mulliner di Crewe mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pelanggan.

Previous post

Beli Ford Explorer Percuma Sony PS5!

Next post

Akibat Ferrari F430 Bertembung Dengan Perodua Axia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *