Cerita Auto

Bagaimana Proton X50 Mendapat Penarafan Lima Bintang ASEAN NCAP

Pada Oktober lalu, Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP) mengeluarkan laporan ujian pelanggaran bagi Proton X50. Dibina di atas platform B-Segment Modular Architecture (BMA), model crossover itu menerima penarafan lima bintang dengan skor keseluruhan 84.26. Tetapi pernahkan anda tertanya-tanya bagaimana X50, yang pada asalnya adalah Geely Binyue, mendapat penarafan tersebut?

Menurut Zanita Zainuddin, Ketua Keselamatan dan Pemanduan Pintar di Proton, walaupun sebahagian besar ciri keselamatan Binyue dipindahkan ke X50, beberapa perubahan perlu dilakukan bagi memastikan model itu mendapat penarafan lima bintang dalam ujian ASEAN NCAP. Ini kerana kriteria yang ditetapkan oleh ASEAN NCAP adalah berbeza berbanding kriteria C-NCAP untuk model pasaran domestik China.

Sebagai contoh, lantai (floorboard) hadapan yang sering mengalami koyakan dalam ujian awal, telah diperkuatkan dengan menggunakan keluli ultra berkekuatan tinggi bagi mengalihkan impak pelanggaran ke bahagian lain supaya tidak mencederakan penumpang. Secara keseluruhan, 40% dari badan, termasuk bahagian depan, sisi dan belakang, dibuat menggunakan gabungan varian keluli berkekuatan tinggi.

Proton turut melakukan beberapa modifikasi terhadap perehat kaki bahagian pemandu pada X50 bagi memastikan kaki sentiasa kekal pada kedudukannya semasa perlanggaran bagi mengelakkan kecederaan. Ini kerana kedudukan enjin yang sentiasa berada pada sebelah kanan (sama ada pada X50 atau Binyue) menimbulkan risiko kecederaan kaki yang lebih besar kepada pemandu X50 yang mempunyai stereng pada sebelah kanan berbanding pemandu Binyue yang mempunyai stereng pada sebelah kiri.

Selain itu, beg udara bahagian tirai pada X50 juga diubah semula bagi memastikan ia memberikan perlindungan tambahan kepada bahagian kepala terutamanya ketika pelanggaran dari sisi. Perubahan reka bentuk ini dilihat sangat penting dalam meningkatkan keselamatan X50 sehinggakan Geely mengambil keputusan untuk menggunakannya pada model-model mereka yang akan datang.

Akhir sekali, cangkuk ISOFIX pada X50 juga lebih panjang manakala sudutnya juga telah diubah bagi memastikan tempat duduk kanak-kanak dapat dipasang dengan lebih mudah dan selamat. Apa yang menarik, C-NCAP buat masa ini tidak mempunyai penilaian Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) namun ia dijangka akan diperkenalkan pada tahun hadapan.

Previous post

Produksi Mitsubishi Outlander PHEV Di Thailand Sudah Bermula

Next post

KPDNHEP Terima 16 Unit Honda Civic 1.8S

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *