Sukan

Audi Sah Akan Bertanding Dalam Rali Dakar

Nampaknya Audi akan mengubah haluan mereka dalam sukan permotoran, sekali lagi. Setelah meninggalkan Le Mans pada 2016 dan Deutsche Tourenwagen Masters (DTM) pada bulan lalu, syarikat itu mengumumkan bahawa mereka tidak akan lagi bertanding dalam Formula E.

Bagaimanapun, Audi mengesahkan bahawa mereka akan menyertai perlumbaan paling sukar di dunia iaitu Rali Dakar bermula tahun hadapan, di samping memberi bayangan menyertai semula Le Mans.

Gambar yang tertera di atas adalah teaser kepada jentera yang akan digunakan oleh Audi dalam Rali Dakar. Setakat ini, masih tiada perincian teknikal mengenai jentera itu namun Audi mendedahkan ia akan dikuasakan oleh trenkuasa elektrik dan sebuah enjin TFSI yang bertindak sebagai pembekal tenaga untuk bateri bervoltan tinggi.

Tambah Audi lagi, segala pengalaman dan pengetahuan yang terkumpul semasa proses pembangunan jentera itu akan digunakan untuk membangunkan jentera elektrik produksi di masa hadapan.

Pada masa yang sama Julius Seebach, pengarah urusan Audi Sport GmbH berkata bahawa mereka sedang bersiap-sedia untuk menyertai kategori sukan prototaip baharu iaitu LMDh (Le Mans Daytona hybrid). Antara peraturan yang dikenakan dalam kategori ini termasuklah jentera perlu mempunyai berat minimum 1,030 kg dan kuasa maksimum 671 hp (500 kilowatt) dengan sistem hibrid yang memacu roda belakang.

Bagi Formula E pula, penglibatan Audi dalam perlumbaan kereta elektrik itu akan berakhir selepas musim 2021. Bagaimanapun, syarikat itu masih akan membekalkan trenkuasa kepada pasukan-pasukan yang bertanding.

Previous post

Aplikasi Mudah Alih Volkswagen Cares Capai 30,000 Ahli

Next post

BMW Malaysia Buka Tempahan M3 Competition dan M4 Competition Coupe

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *