Berita Auto

Audi R8 Panther Model Edisi Terhad Untuk Amerika Syarikat

Audi telah memperkenalkan R8 Panther untuk pasaran Amerika Syarikat. Terhad kepada 30 unit sahaja, model itu sebenarnya berasaskan model R8 RWD (pacuan roda belakang) yang dilancarkan untuk pasaran negara itu pada September lalu.

Walaupun tiada kena mengena dengan watak adiwira Black Panther, R8 Panther tampil dalam warna eksklusif Panther Black dengan efek kristal. Warna itu dipadankan dengan rim berukuran 20 inci yang dihiasi dengan perincian berwarna merah serta beberapa komponen gentian karbon.

Tema hitam dan merah diteruskan pada ruang kabin dengan upholsteri kulit hitam dan jahitan kontras merah Crimson pada papan pemuka, dan kerusi perlumbaan yang dibalut dengan balutan kulit Nappa dalam tona merah yang sama.

Selain itu, terdapat juga kemasan Alcantara pada siling, stereng dan tuil gear, serta trim gentian karbon di sekeliling corong pendingin hawa dan konsol tengah. Untuk sistem infotainmen pula, Virtual Cockpit, MMI Navigation Plus dan 13 pembesar suara Bang & Olufsen adalah antara kelengkapan yang disertakan secara standard.

R8 Panther dikuasakan oleh enjin 5.2-liter FSI V10 yang mampu menjana 532 hp dan 540 Nm, sekaligus membolehkan memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 3.6 saat. Kelajuan maksimum supercar ini adalah 323 km/j.

Sebagai model pacuan roda belakang, casis R8 Panther menerima beberapa penambahbaikan seperti penggunaan gandar belakang solid, bar anti-oleng yang lebih tegar pada bahagian hadapan dan sudut camber negatif untuk tayar belakang. Bukan itu sahaja, stereng kuasa elektromekanikal menjanjikan pengendalian yang lebih tepat dan responsif.

Menurut Audi, model edisi terhad ini akan dijual bermula bulan ini pada harga $183,300 (kira-kira RM744,472).

Previous post

Jeep Wrangler Rubicon Lego Technic Masuk Pasaran Tahun Hadapan

Next post

Sudah 40 Tahun Sejak Beg Udara Pertama Debut Dalam S Class

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *