Konsep / Lakaran / Intipan

Apa Yang Akan Dilancarkan UMW Toyota Motor 17 Disember Nanti?

UMW Toyota Motor telah mengesahkan bahawa mereka akan melakukan beberapa pengumuman penting pada 17 Disember depan. Setakat ini, teaser-teaser yang disiarkan tidak memberikan sebarang klu tentang apa yang akan dilakukan oleh syarikat itu namun ia kedengaran seperti sesuatu yang sangat menarik bakal menjelang tiba.

Adakah ia GR Yaris? Ada kemungkinan ia berlaku memandangkan UMWT pernah memuat naik gambar hatchback itu di laman Facebook rasmi mereka pada Julai lalu. Tambahan pula, tempahan untuk GR Yaris telah pun dibuka di Thailand jadi tidak mustahil yang kereta itu akan tiba di negara kita tidak lama lagi.

Bukan itu sahaja, Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. juga ada sesuatu yang menarik untuk diperkatakan tentang pengumuman tersebut. Menurut beliau, “Apa yang akan diumumkan semasa acara dalam talian pada 17 Disember 2020 akan menjadi yang pertama seumpamanya dalam industri buat Toyota dan akan menjadi batu asas dalam menyambut tahun 2021 yang menarik.”

Paling kurang pun, UMWT mungkin akan melancarkan Yaris dan Vios baharu. Sudah tentu, dua model ini tidaklah segah GR Yaris dan juga bukanlah perkara yang boleh dikategorikan sebagai “yang pertama seumpamanya dalam industri” namun pelancarannya bakal menarik perhatian pembeli dalam segmen B yang pastinya akan merebut peluang untuk membuat pembelian sebelum tempoh pengecualian cukai jualan tamat pada 31 Disember.

Apa-apa pun, jangan lupa untuk saksikan pengumuman tersebut secara langsung menerusi akaun Facebook dan Instagram UMW Toyota Motor, atau laman web www.toyota.com.my pada 17 Disember jam 7.30 malam.

Previous post

Proton Serah 8 Unit X70 Bantu KKM Perangi COVID-19 di Sabah

Next post

DS 9 Adalah Lawan E-Class Yang Tidak Akan Masuk Ke Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *