Berita Auto

Alfa Romeo Ucap Selamat Tinggal Kepada 4C Spider Dengan Model Edisi Khas

Alfa Romeo telah memperkenalkan 4C Spider 33 Stradale Tributo sebagai tanda penghormatan kepada model 33 Stradale keluaran tahun 1967 dan juga pengakhiran 4C Spider di Amerika Syarikat. Hanya 33 unit akan dihasilkan dan setiap satu ditawarkan pada harga $79,995 (RM325,027).

4C Spider 33 Stradale Tributo didatangkan secara eksklusif dalam warna merah gelap Rosso Villa d’Este, berserta rim aloi lima lubang berwarna kelabu keemasan bersaiz 18 inci di hadapan dan 19 inci di belakang.

Di dalam, terdapat tempat duduk sport yang dibalut upholsteri Dinamica dan kulit, serta plak khas pada papan pemuka, ambang pintu dan konsol tengah. Setiap pelanggan juga akan mendapat buku khas studio rekaan yang mengandungi segalanya tentang 4C serta sejarah kilang pemasangan di Modena dan 33 Stradale.

Selain itu, kebanyakan kelengkapan yang disertakan secara standard pada model edisi khas ini pada asalnya ditawarkan secara opsyen pada 4C Spider standard. Ini termasuk sistem ekzos dwi-mod Akrapovic, suspensi perlumbaan, lampu bi-xenon, pengecas bateri, pelindung kereta, spoiler belakang dan warna bendera Itali pada cermin sisi.

Seperti versi standard, 4C Spider 33 Stradale Tributo dikuasakan oleh enjin turbo 1.75-liter yang menjana 237 hp dan 350 Nm. Dengan transmisi klac berkembar enam kelajuan, ia mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 4.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 258 km/j.

Previous post

Mercedes-Benz GLA Generasi Kedua Masuk Pasaran Malaysia

Next post

Porsche Taycan EV Terpantas di Road Atlanta

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *