Berita Auto

Volvo Jatuhkan Kereta Dari Ketinggian 30 Meter Demi Keselamatan

Volvo adalah jenama yang sinonim dengan keselamatan sejak berdekad lamanya. Maka, tidak hairanlah syarikat itu mengambil langkah proaktif bagi membantu pasukan penyelamat meningkatkan kesiapsiagaan mereka dalam menangani kes kemalangan.

Dalam ujian perlanggaran yang telah dilakukan baru-baru ini, Volvo telah menjatuhkan sebanyak 10 buah kereta baharu yang digantung pada kren dari ketinggian 30 meter. Menurut pengeluar dari Sweden itu, pendekatan unik itu dapat mensimulasikan kerosakan yang berlaku akibat kemalangan berkelajuan tinggi yang tidak dapat dilakukan dengan ujian perlanggaran biasa.

Dalam situasi seperti ini, penumpang biasanya berada dalam keadaan kritikal. Oleh itu, keutamaan adalah untuk mengeluarkan dan mengejarkan mangsa ke hospital secepat mungkin. Untuk mengeluarkan mangsa, pihak penyelamat menggunakan alat hidraulik yang dikenali sebagai ‘jaws of life’.

Untuk ujian ini, Volvo menggunakan kereta baharu bagi membolehkan pasukan penyelamat mengemaskini pengetahuan mereka mengenai model-model terkini serta membangunkan teknik menyelamat baharu. Ini kerana kereta moden, terutamanya Volvo, mempunyai struktur yang lebih kukuh berbanding kereta-kereta lama.

Semua data yang diperoleh daripada ujian perlanggaran dan kerja menyelamat ini akan dikumpulkan dalam laporan penyelidikan. Laporan ini disediakan seara percuma untuk kegunaan pasukan penyelamat lain, sekaligus membolehkan mereka memperkembangkan lagi kebolehan menyelamat mereka.

“Kami telah bekerjasama dengan perkhidmatan penyelamat Sweden selama bertahun-tahun,” kata Håkan Gustafson, penyiasat kanan Pasukan Penyelidikan Kemalangan Lalu Lintas Volvo Cars.

“Ini kerana kami mempunyai tujuan yang sama: mempunyai jalan yang lebih selamat untuk semua. Kami berharap tidak ada yang perlu mengalami kemalangan yang teruk, tetapi tidak semua kemalangan dapat dielakkan. Oleh itu, sangat penting ada kaedah untuk menyelamatkan nyawa ketika ia berlaku,” tambah beliau.

Previous post

Audi SQ2 Terima Facelift

Next post

Jeep Wrangler Rubicon 392 - Jentera Off-Road Berenjin V8

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *