Kemalangan / Rosak / Recall

Pemandu Maut Dalam Kemalangan di SS19

Musim hujan tiba lagi dan ini bermakna kita, pengguna jalan raya, perlu lebih berhati-hati dalam keadaan permukaan jalan basah kerana ia sebenarnya sangat berbahaya. Tinggal di negara beriklim khatulistiwa mungkin sudah membiasakan kita dengan cuaca buruk sepanjang tahun namun ini tidak bermakna kita boleh alpa. Ini ada satu peringatan tentang bahaya memandu dalam cuaca dalam hujan.

Kami dimaklumkan bahawa kemalangan maut ini berlkau semalam (22 November 2020) di SS19, Subang Jaya. Tiada maklumat lanjut dikongsikan setakat ini namun melihat kepada kerosakan yang dialami oleh Proton Inspira ini, ia berkemungkinan besar telah berlanggar dengan tiang di sebelahnya. Ketiadaan kesan seretan tayar menunjukkan bahawa pemandu tidak berkesempatan untuk menekan brek sebelum pelanggaran berlaku. Apa pun sebabnya, impak tersebut telah menyebabkan pemandu tersebut maut di tempat kejadian.

Ini mungkin menunjukkan yang mangsa mungkin telah memandu secara melulu dan seperti yang kita tahu, perbuatan ini boleh mendatangkan maut terutamanya ketika permukaan jalan basah. Pernahkah anda terfikir, kenapa memandu dengan laju dalam cuaca hujan sangat berbahaya? Pertama sekali, jalan boleh menjadi sangat licin ketika hujan dan ini boleh menjadi lebih buruk dengan adanya tumpahan minyak dan bendalir dari kenderaan lain. Air boleh masuk di antara permukaan tayar dan jalan, sekaligus menyebabkan kehilangan cengkaman. Keadaan ini dipanggil ‘aquaplaning’ atau ‘hydroplaning’.

Bukan itu sahaja, hujan lebat juga boleh menjejaskan penglihatan secara signifikan serta menjadikan tindak balas pemandu lebih perlahan. Hujan rintik mungkin tidak banyak memberikan kesan terhadap jarak penglihatan anda namun hujan lebat (yang selalu berlaku terutamanya pada musim hujan) boleh mendatangkan pelbagai masalah. Jadi untuk kepentingan semua, di sini kami kongsikan beberapa tips berguna semasa memandu ketika hujan:

  • Pastikan kereta dalam keadaan baik sebelum memulakan perjalanan. Pengelap cermin, lampu hadapan dan belakang perlu berfungsi. Perlu diingat juga, tayar yang botak dan air adalah resipi untuk bencana.
  • Oleh kerana penglihatan terjejas semasa hujan, lebih baik jika anda memandu dengan lebih perlahan dari kebiasaan.
  • Sentiasa hidupkan lampu ketika memandu. Langkah yang ringkas ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan penglihatan anda, malah memudahkan pengguna jalan raya yang lain untuk melihat anda.
  • Kekalkan jarak yang selamat antara kereta anda dengan kenderaan di hadapan. Perlu diingat bahawa jarak membrek akan bertambah ketika memandu di atas jalan yang basah.

Kami ingin mengingatkan para pembaca bahawa kemalangan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja, walaupun anda memandu kereta moden yang selamat. Dalam kes di atas, mangsa memandu sebuah Proton Inspira, sebuah kereta yang cukup baik dari segi pembinaan dan spesifikasi. Selain ciri keselamatan yang biasa seperti beg udara dan ABS dengan EBD, model yang berasaskan Mitsubishi Lancer generasi ketujuh itu juga mempunyai rangka Reinforced Impact Safety Evolution (RISE) yang dihasilkan oleh Mitsubishi. Walapun begitu, ia masih tidak mampu mencegah kecederaan maut. Jadi, marilah kita jadikan kejadian ini sebagai satu iktibar dan peringatan supaya kita lebih berhati-hati semasa memandu terutamanya ketika hujan.

Previous post

Debut Peugeot 4008, 5008 dan 508 L PHEV Baharu Di China

Next post

Konsep Kia Sorento Baharu Dikongsi Di SEMA 2020

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *