Berita Auto

Mercedes-AMG GT Black Series Pecah Rekod Nurburgring

Diperkenalkan secara rasmi pada Julai lalu, Mercedes-AMG GT Black Series merupakan antara model paling berkuasa pernah dihasilkan pengeluar dari Affalterbach itu. Kini, kehebatan jentera itu terbukti apabila ia merangkul gelaran kereta produksi terpantas di Nurburgring-Nordschleife dengan catatan masa 6 minit 43.616 saat.

Ini bermakna jentera dari Jerman itu berjaya merampas gelaran tersebut daripada Lamborghini Aventador SVJ dengan perbezaan masa 1.36 saat. Ia adalah satu pencapaian hebat buat AMG memandangkan pesaingnya dari Itali itu mempunyai enjin yang lebih berkuasa (+40 PS) yang terletak di belakang.

Sebagai peringatan, GT Black Series dikuasakan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang menghamburkan 730 PS dari 6,700 hingga 6,900 rpm dan 800 Nm dari 2,000 hingga 6,000 rpm. Jentera pacuan roda belakang ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.2 saat, dengan kelajuan maksimum 325 km/j.

Untuk percubaan ini, Mercedes menggunakan unit spesifikasi produksi dengan talaan-talaan tertentu yang dipilih sendiri oleh pemandu iaitu Maro Engel. Tiada yang luar biasa tentang talaan ini kerana ianya juga boleh dilakukan oleh pemilik GT Black Series sendiri. Antaranya adalah:

  • Splitter gentian karbon pada bahagian hadapan dalam posisi “Race”
  • Bilah sayap bawah dan atas dalam posisi tengah
  • Suspensi ‘coilover’ AMG direndahkan sebanyak 5 mm di hadapan dan 3 mm di belakang
  • Camber ditetapkan pada sudut negatif 3.8 darjah di hadapan dan negatif 3.0 darjah di belakang
  • ‘Anti-roll bar’ dilaraskan pada tahap ketiga iaitu paling tegar
  • AMG Traction Control posisi keenam dan ketujuh – bergantung pada seksyen litar

Sementara itu, tayar yang digunakan adalah tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 R yang didatangkan standard. Turut disertakan adalah sistem brek komposit seramik AMG dan pakej Track yang merangkumi sistem perlindungan ‘rollover’ dan tali pinggang keledar keselamatan empat-poin.

Catatan masa dilakukan oleh Wige Solutions, sebuah syarikat pakar penjagaan masa yang turut terlibat dalam kejohanan-kejohanan besar seperti DTM dan European FIA Truck Racing.

Apa yang menarik, Engel berkata bahawa keadaan di litar pada hari itu tidak begitu ideal dengan sesetengah bahagian litar masih basah. Adakah ini bermakna Mercedes akan cuba memecahkan rekod sekali lagi? Sama-sama kita nantikan.

Previous post

Honda e Menang Anugerah Kereta Tahunan Jerman 2021

Next post

Honda Civic Generasi ke-11 Tampil Rekaan Lebih Matang

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *