Motosikal / Lain Lain Roda

Memperkenalkan BMW S 1000 R (2021)

BMW Motorrad telah mengemaskini model roadster S 1000 R bagi model tahun 2021, sekaligus memberikan motosikal itu peningkatan dalam aspek kuasa, pengendalian dan pengurusan berat.

Dari segi penampilan, rekaan lampu yang unik pada model terdahulu telah digantikan dengan unit yang lebih konvensional. Selain rekaan yang lebih segar, BMW turut memfokuskan kepada pengurangan berat, terutamanya pada bahagian enjin dan casis. Hasilnya, pengeluar dari Jerman itu berjaya mengurangkan berat sebanyak 6.5 kg. Jumlah ini boleh dinaikkan lagi sebanyak 4.8 kg menerusi pakej M yang ditawarkan secara pilihan.

Dipinjam dari S 1000 RR, enjin empat silinder sebaris itu bukan sahaja lebih ringan sebanyak 5 kg, malah mempunyai kuasa julat pertengahan yang dioptimumkan serta nisbah gear 4, 5 6 baharu. Ia juga dilengkapi dengan teknologi kawalan tork (MSR) untuk mengelakkan tayar belakang daripada tergelincir.

Enjin tersebut mampu menghasilkan 165 hp pada 11,000 rpm dan 114 Nm pada 9,250 rpm. Jumlah kuasa yang tinggi ini boleh diuruskan dengan menggunakan salah satu daripada tiga mod tunggangan yang ditawarkan iaitu Rain, Road dan Dynamic, Traction Control, serta ABS Pro. Semuanya disertakan sebagai kelengkapan standard.

Sebagai tambahan, pelanggan boleh mendapatkan pakej Riding Modes Pro yang mempunyai satu lagi mod tunggangan iaitu Dynamic Pro, selain ciri Dynamic Brake Control, Engine Brake dan Power Wheelie.

Satu lagi ciri yang diambil dari S 1000 RR adalah kluster instrumen TFT berukuran 6.5 inci yang direka untuk memaparkan pelbagai fungsi dan maklumat mengenai jentera dengan skrin yang mudah dibaca walaupun di bawah sinaran matahari. Skrin ini boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi Bluetooth untuk mengakses pelbagai fungsi termasuk navigasi.

Bagi aspek casis pula, rangka Flex Frame kini dijadikan lebih langsing bagi mengurangkan jarak lebar di bahagian lutut, sekaligus memberikan penunggang posisi tunggangan yang lebih santai dan serta pergerakan yang lebih bebas. Turut disertakan adalah bar hendal boleh laras.

Setakat ini masih tiada maklumat mengenai harga dan tarikh pelancaran. S 1000 R akan bersaing dengan Ducati Streetfighter V4, Aprilia Tuono V4 1100 Factory, Yamaha MT-10 dan pelbagai lagi model dalam segmen supernaked.

Previous post

Adakah Anda Akan Membeli Hyundai Genesis Di Malaysia?

Next post

Bugatti Chiron Sport “Les Légendes du Ciel” Ambil Inspirasi Dunia Penerbangan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *