Berita Auto

Lego Lancar Set Ecto-1 Dari Filem Ghostbusters

Penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan penundaan banyak filem baru Hollywood, termasuk Ghostbusters: Afterlife. Ia sepatutnya mula ditayang pada musim panas tahun ini, namun atas sebab yang tidak perlu diperkatakan lagi, Sony telah mengambil keputusan untuk menunda tayangannya ke tarikh baru iaitu 11 Jun 2021.

Ini bermakna peminat filem perlu menunggu selama tujuh bulan untuk melihat Ecto-1 beraksi di layar perak. Namun, untuk menjadikan penantian itu tidak begitu menyeksakan, Lego telah memperkenalkan set berasaskan kereta yang digunakan oleh pasukan Ghostbusters itu.

Set ini agak besar, mengandungi 2,352 kepingan kesemuanya, dengan ukuran panjang 47 cm. Menurut Lego, ia merupakan Ecto-1 rekaan semula yang paling terperinci pernah dihasilkan, dengan stereng yang berfungsi, kerusi belakang yang boleh ditarik keluar serta pelbagai kelengkapan pengesan paranormal di atas rak bumbung.

Design Master Lego, Michael Psiaki berkata bahawa set Ecto-1 ini direka berasaskan kereta yang akan muncul di dalam filem Afterlife. Ia memuatkan pelbagai barangan tulen serta ciri-ciri tersembunyi (Easter eggs) khas untuk peminat filem tersebut.

Ghostbusters: Afterlife merupakan sekuel kepada filem Ghostbusters (1984) dan Ghostbusters II (1989). Ia dibintangi oleh Finn Wolfhard dan Paul Rudd, dan juga akan menampilkan beberapa pelakon filem asal seperti Bill Murray, Dan Aykroyd dan Sigourney Weaver.

Set Ecto-1 ini akan dilancarkan ke pasaran pada 15 November ini dengan harga bermula dari €199.99 (RM980).

Dengan lebih 2,000 kepingan, ia pastinya akan mengambil masa yang lama untuk dipasang. Namun, ia tidaklah begitu kompleks jika dibandingkan dengan set Lamborghini Sian yang diperkenalkan pada Mei lalu.

Previous post

Walaupun Segalanya Yang Sedang Berlaku Subaru USA Masih Meraih Jualan Oktober Terbaik

Next post

Ford Memanggil Balik 375,000 Explorer SUV Di Amerika Utara

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *