Berita Auto

Kotak Gear IVT Hyundai Lebih Efisien, Responsif Berbanding CVT

Hyundai Elantra generasi ketujuh nampaknya sah akan tiba di Malaysia setelah Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) menyiarkan imej teaser sedan segmen C itu di laman Facebook rasminya beberapa hari yang lalu.

Kini, siaran media yang dikirm oleh syarikat itu seakan memberi bayangan yang kita akan mendapat versi enjin Smartstream G1.6 MPi empat silinder yang menghasilkan 123 hp pada 6,300 rpm dan 154 Nm pada 5,400 rpm. Pemasaan injap boleh-ubah, suntik port (multi-port injection) dan modul pengurusan termal adalah antara beberapa kelebihan yang dimilik oleh enjin NA itu.

Kuasa tersebut akan disalurkan ke roda menerusi kotak Smartstream Intelligent Variable Transmission (IVT) Hyundai. Walaupun ia mempunyai banyak persamaan dengan kotak gear jenis Continuously Variable Transmission (CVT), IVT dikatakan mampu menghasilkan corak penukaran gear seperti transmisi manual, sekaligus menjadikan ia lebih responsif.

Direka dan dibina oleh Hyundai Transys, yang merupakan gabungan Hyundai Powertech dan Hyundai Dymos, IVT menggunakan rantai sawat (chain belt) bagi mengelak berlakunya kegeliciran dan pada masa yang sama dapat meningkatkan kecekapan. Ia juga mempunyai kebolehpercayaan yang lebih tinggi kerana ia lebih tahan lama dan tidak memerlukan sebarang penyelenggaraan.

Menurut Hyundai, Smartstream IVT versi lapan kelajuan yang terdapat pada model Elantra baharu telah menunjukkan peningkatan sebanyak 4.2% dalam kecekapan bahan api dan pengurangan dari 5% hingga 8% bagi kehilangan kuasa enjin.

Setakat ini masih tiada maklumat mengenai tarikh pelancaran rasmi Elantra ataupun harganya. Seperti yang kita sedia maklum, ia bakal berhadapan saingat sengit daripada model-model yang lebih popular seperti Honda Civic, Toyota Corolla Altis dan Mazda3.

Previous post

Panggilan Semula Honda Accord 1999 dan CR-V 2000

Next post

Ferrari 488 GT Modificata - Untuk Litar Lumba Sahaja

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *