Berita Auto

Jeep Wrangler Rubicon 392 – Jentera Off-Road Berenjin V8

Kali terakhir Jeep ditawarkan dengan enjin V8 terus dari kilang adalah 40 tahun lalu, ketika model itu masih dikenali sebagai Jeep CJ. Penantian peminat jenama itu yang inginkan ‘nadi’ berkuasa tinggi kini berakhir dengan pengenalan Wrangler Rubicon 392 baharu.

Seperti versi konsep yang diperkenalkan pada Julai lalu, model produksi ini turut dikuasakan oleh enjin Hemi 6.4-liter V8 namun ia mempunyai kuasa yang lebih tinggi iaitu 470 hp dan 637 Nm berbanding 450 hp dan 630 Nm. Dengan bantuan transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan empat roda Selec-Track, ia mampu memecut dari 0 hingga 96 km/j dalam 4.5 saat.

Memang tidak dapat disangkal lagi, Rubicon 392 adalah model Wrangler paling laju pernah dihasilkan. Menurut Jeep, ia boleh melakukan pecutan suku batu dalam hanya 13 saat. Sistem ekzos dwi-mod pula menghasilkan ngauman garang yang sepadan dengan prestasinya.

Namun kekuatan jentera ini tidak tertumpu pada pecutan semata-mata. Ia juga mampu mengharungi permukaan yang mencabar dengan jarak lega tanah 10.3 inci, sudut pendekatan 44.5 darjah, sudut pelepasan 37.5 darjah dan sudut ‘breakover’ 22.6 darjah, selain berupaya meranduk air sedalam 32.5 inci. Semua ini hasil penggunaan suspensi Mopar yang meningkatkan ketinggian sebanyak dua inci.

Selain itu, model ini juga dilengkapi dengan pelbagai komponen off-road seperti gandar Dana 44 pada bahagian hadapan dan belakang, ‘differential’ elektronik Tru-Lok, serta tayar lumpur 37 inci yang dipadankan dengan rim ‘beadlock’ berukuran 17 inci.

Turut disertakan adalah rel batu Rubicon, bampar keluli serta takal Warn. Apa yang menarik, enjinnya mempunyai sistem aruhan udara yang boleh mengelakkan air daripada masuk ke ruang enjin. Lubang ambilan udara kedua membolehkan enjin terus berfungsi walapun skup di atas hud diselaputi lumpur.

Setakat ini, maklumat mengenai jumlah yang akan dihasilkan serta harga masih belum didedahkan. Wrangler Rubicon 392 bakal bersaing secara terus dengan Ford Bronco baharu.

Previous post

Volvo Jatuhkan Kereta Dari Ketinggian 30 Meter Demi Keselamatan

Next post

Pengeluaran Pacuan Elektrik Volkswagen Bermula Di China

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *