Berita Auto

Infiniti QX55 Diperkenalkan Dengan Reka Bentuk Dramatik

Jenama mewah yang bernaung di bawah Nissan iaitu Infiniti telah memperluaskan barisan model crossover mereka dengan QX55 baharu. Menurut syarikat itu, ia merupakan pengganti kepada model FX yang mula diperkenalkan pada 2003.

Dari segi reka bentuk, QX55 menampilkan interpretasi moden penggayaan FX dengan rekaan bumbung melengkung yang dramatik serta garisan-garisan karakter yang merentangi sepanjang bahagian sisi badan.

Model ini mempunyai kemasan gril yang diinspirasikan oleh corak origami, lampu LED serta rim 20 inci yang didatangkan secara standard. Di belakang, terdapat lampu ‘kunci piano’ dengan 45 lampu LED dalam setiap unit.

Di dalam, QX55 tampil dengan susun atur skrin berkembar dengan skrin lapan inci di bahagian atas dan tujuh inci di bawah, sistem infotainmen InTouch dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta port USB untuk sambungan dan pengecasan telefon pintar. Sistem audio Bose dengan 16 pembesar suara ditawarkan secara pilihan.

Suasana mewah disampaikan menerusi penggunaan upholsteri kulit, kulit sintetik (leatherette) dan kulit separa-aniline, manakala tempat duduk barisan kedua yang boleh digelongsorkan menghasilkan ruang kargo yang lebih fleksibel atau ruang kaki yang lebih luas, bergantung pada keperluan.

Di bawah hud, terdapat enjin Variable Compression Turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 269 hp dan 380 Nm. Kuasa tersebut disalurkan ke roda oleh transmisi jenis CVT menerusi sistem Intelligent All-Wheel-Drive. Pemilih mod pemanduan menawarkan empat mod iaitu Standard, Eco, Sport dan Personal.

QX55 akan ditawarkan dalam tiga gred iaitu Luxe, Essential dan Sensory. Ia akan dilancarkan di Amerika Syarikat dan Kanada pada tahun hadapan.

Previous post

Honda Civic Generasi ke-11 Tampil Rekaan Lebih Matang

Next post

Apalah Yang Akan Difikirkan Oleh Sir Alec Issigonis Tentang MINI Vision Urbanaut Ini?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *