Berita Auto

Ferrari SF90 Spider Sama Hebat Dengan SF90 Stradale

Ferrari adalah antara beberapa pengeluar kenderaan yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19. Bagaimanapun, operasi jenama supercar dari Itali itu nampaknya semakin pulih dan kini ia telah memperkenalkan model baharu iaitu SF90 Spider.

Merupakan varian convertible kepada SF90 Stradale, versi Spider ini tampil dengan bumbung jenis Retractable Hard Top (RHT) yang pertama kali digunakan pada model 458 Spider pada 2011. Komponen yang diperbuat daripada aluminium ini dikatakan 40 kg lebih ringan berbanding bumbung convertible konvensional dan hanya memerlukan ruang sebesar 100 liter.

Menurut Ferrari, mereka mengambil keputusan untuk menggunakan RHT kerana ia lebih senyap, bentuknya tidak mudah berubah pada kelajuan tinggi serta menawarkan ruang yang lebih selesa untuk penumpang. Ia mengambil masa selama 14 saat untuk dinaikkan.

Seperti versi Stradale, SF90 Spider dikuasakan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang menghasilkan 780 PS pada 7,500 rpm dan 800 Nm pada 6,000 rpm. Enjin tersebut digandingkan dengan tiga buah motor elektrik yang menjana 220 PS, menjadikan kuasa keseluruhan jentera ini 1,000 PS.

Walaupun penggunaan bumbung RHT memberikan berat tambahan sebanyak 100 kg, prestasi SF90 Spider tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan SF90 Stradale. Pecutan 0-100 km/j dan kelajuan maksimum masih sama iaitu 2.5 saat dan 340 km/j, manakala pecutan 0-200 km/j boleh dicapai dalam tujuh saat, hanya 0.3 saat di belakang Stradale. Di litar Fiorano pula, perbezaan masa yang ditunjukkan oleh kedua-dua jentera ini hanyalah sebanyak 0.5 saat.

Previous post

Kenderaan Autonomi Tahap 3 Honda Diluluskan

Next post

Kia Carnival Hi Limousine Dilancarkan di Korea Selatan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *