Berita Auto

Bugatti Chiron Sport “Les Légendes du Ciel” Ambil Inspirasi Dunia Penerbangan

Anda mungkin sudah tahu bahawa pengasas jenama Bugatti iaitu Ettore Bugatti pernah terlibat dalam industri penerbangan pada awal abad ke-20. Pada 1915, Bugatti mereka bentuk enjin kapal terbang dan pada 1937, beliau membangunkan sebuah pesawat untuk tujuan memecah rekod kelajuan.

Selain itu, beberapa bekas juruterbang seperti Albert Divo, Robert Benoist dan Meo Costantini juga pernah berlumba untuk pasukan Bugatti. Bagi meraikan individu-individu yang berani ini, serta ikatannya dengan dunia penerbangan, Bugatti telah memperkenalkan model edisi terhad Chiron Sport “Les Légendes du Ciel”.

Terhad kepada 20 unit sahaja, Chiron Sport “Les Légendes du Ciel” didatangkan dalam warna Gris Serpent yang diinspirasikan oleh warna pesawat pada era 1920-an. Ia juga mempunyai logo “Les Légendes du Ciel” pada sayap hadapan dan warna bendera Perancis pada skirt sisi.

Perincian lain yang terdapat pada model ini termasuklah kemasan mesh pada bahagian gril yang diperbuat daripada aluminium, logo yang akan terpancar apabila pintu dibuka, kemasan aluminim pada ambang pintu, serta penutup enjin gentian karbon.

Ruang dalaman pula dihiasi dengan upholsteri kulit Gaucho berwarna perang muda, ditemani dengan kehadiran trim aluminium sebagai kontras, inlay aluminium dengan logo “Les Légendes du Ciel” pada perehat kepala serta plak nombor siri pengeluaran pada konsol tengah.

Selain itu, terdapat juga lakaran suasana perlumbaan antara pesawat Nieuport 17 dan Bugatti Type 13 pada panel pintu. Nieuport 17 merupakan pesawat yang popular dalam kalangan juruterbang kerana kepantasan dan kelincahannya di udara. Sementara itu, Type 13 merupakan kereta pertama yang mengenakan lencana Bugatti.

Seperti versi standard, Chiron Sport “Les Légendes du Ciel” dikuasakan oleh enjin 8.0-liter W16 yang menghasilkan 1,500 PS dan 1,600 Nm, yang membolehkannya memecut sehingga 420 km/j. Pengeluaran model ini akan bermula pada hujung tahun ini. Setiap unit ditawarkan pada harga 2.88 juta Euro.

Previous post

Memperkenalkan BMW S 1000 R (2021)

Next post

McLaren Senna GTR Kini Dalam Versi Lego Technic

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *