Berita Auto

UMW Toyota, Bank Islam Tawar Skim Pembiayaan Patuh Shariah Baharu

UMW Toyota, dengan kerjasama Bank Islam Malaysia Berhad memperkenalkan dua lagi skim pembiayaan patuh shariah iaitu Pembiayaan-i Kenderaan dan juga Pembiayaan-i Kenderaan GradHitz.

Ia merupakan penambahan kepada pelan-pelan sedia ada iaitu Toyota EZ Beli, Jom Drive, AITAB, Pelan Toyota Flexi serta skim sewa-beli dan pajakan kenderaan konvensional yang ditawarkan di semua cawangan serta pengedar rasmi Toyota.

Pembiayaan-i Kenderaan ditawarkan kepada semua pelanggan yang berumur sehingga 60 tahun dengan pendapatan minimum RM2,800 atau lebih. Pembiayaan-i Kenderaan GradHitz pula adalah untuk para graduan yang baru mula bekerja, dalam usia tidak lebih 30 tahun, dengan kelayakan minimum diploma dari institusi yang diiktiraf di bawah Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dengan kadar pembiayaan sehingga 100%.

Kedua-dua skim ini berasaskan terma pembiayaan, dengan kontrak pembelian kos ditambah keuntungan, di bawah prinsip Murabahah kepada Pemesan Pembelian (MPO). Tempoh pembiayaan ialah sembilan tahun, dengan kadar keuntungan tetap dari 2.35% hingga 2.55% setahun. Pelanggan juga layak untuk menikmati Ibra’ (rebat) sekiranya bayaran langsai dibuat sebelum tempoh matang pembiayaan.

Pelan Pembiayaan Auto Takaful (AFTP), sebuah perlindungan takaful turut ditawarkan kepada para pelanggan. Pelan berkenaan melindungi jumlah baki pembiayaan sekiranya berlaku kematian atau kurang upaya kekal dalam tempoh pembiayaan. Sumbangan AFTP dikira berdasarkan jumlah pembiayaan dan umur pemohon.

Dua skim pembiayaan Bank Islam ini sah untuk semua kenderaan dan model baru Toyota yang dijual oleh pengedar sah Toyota di seluruh Malaysia (termasuk di zon bebas cukai Labuan dan Langkawi).

Previous post

Honda CR-V Facelift Dibuka Untuk Tempahan

Next post

Lotus Akan Membangunkan Platform EV Baharu Dengan Sokongan Kerajaan UK

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *