Berita Auto

Toyota Hilux Mako Sedia Bertarung Dengan Ranger Raptor

Toyota telah mendedahkan seteru kepada Ford Ranger Raptor iaitu Hilux Mako. Ia dinamakan sempena jerung Mako yang merupakan spesis terpantas di dunia.

Bagi membolehkan ia memberi saingan sengit kepada Raptor, Hilux Mako menampilkan pelbagai naik taraf yang melibatkan aspek visual dan yang paling penting, mekanikal.

Seperti yang boleh dilihat, trak ini didatangkan dengan rekaan bampar yang lebih agresif dan dapra yang lebar dengan penambahan panel plastik berwarna hitam. Ruang yang dihasilkan oleh dapra tersebut diisi oleh Maxxis Razr ‘all terrain’ berukuran 265/60 yang membalut rim aloi Rhino 18 inci.

Turut disertakan adalah cangkuk tunda, pemijak sisi besi dan plat perlindungan bawah badan. Ruang kabin pula dipertingkatkan menerusi kerusi bucket dengan logo Mako dan upholsteri kulit serta roda stereng sport.

Sementara itu, casis Hilux Mako menerima penambahbaikan dalam bentuk sistem suspensi ARB Old Man Emu yang meningkatkan ketinggian sebanyak 40 mm di hadapan dan 50 mm di belakang.

Sistem ini dipadankan dengan peredam ‘by pass’ BP-50 yang membolehkan mampatan dan lantunan (compression and rebound) dilaraskan. Direka untuk merentasi permukaan yang mencabar, peredam ‘by pass’ adalah teknologi yang dipinjam daripada trak perlumbaan Baja.

Selain itu, model ini turut didatangkan dengan sistem brek daripada Fortuner dan hos brek ‘braided’. Kuasa dibekalkan oleh enjin turbodiesel 2.8-liter yang menghasillkan 201 hp (204 PS) dan 500 Nm.

Sayangnya, Hilux Mako hanya akan dijual di New Zealand dan pengeluaranya akan dihadkan kepada 250 unit sahaja.

Previous post

Range Rover Velar Dapat & Peningkatan & Varian PHEV

Next post

Pilihan Warna Matt Baharu Untuk Lamborghini Urus

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *