Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Toyota Hilux 2020 Hadir Dengan Penambahbaikan Menyeluruh

UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengumumkan pelancaran Toyota Hilux 2020 yang hadir dengan penampilan luar dan dalam yang lebih segar, serta prestasi dan sistem keselamatan yang dipertingkatkan.

Trak pikap itu boleh didapati dalam lima varian iaitu Hilux Rogue 2.8 Double Cab AT sebagai varian paling tinggi, Hilux 2.4 V AT Double Cab, Hilux 2.4 E AT Double Cab, Hilux 2.4 G MT Double Cab dan Hilux 2.4 MT Single Cab.

Pelanggan boleh memilih dari tujuh warna yang ditawarkan; Bronze Mica Metallic, Crimson Spark Red Metallic, Attitude Black Mica, Phantom Brown Metallic, Medium Silver Metallic, Silver Metallic dan Super White II. Bagi Hilux Single Cab pula, ia hanya ditawarkan dalam warna Solid White.

Hilux baru ini menampilkan penggayaan yang lebih menarik dengan gril depan rekaan baru serta elemen visual lain yang lebih menonjol. Di dalam, suasananya lebih premium dengan sentuhan perincian kemasan baru. Bagi Hilux Rogue, suasana di dalam kabin diserikan lagi dengan pencahayaan pintu warna biru.

Enjin 2.8 liter turbodiesel pada Hilux Rogue juga menerima penambahbaikan teknikal yang menyaksikan kuasanya meningkat kepada 204 PS pada 3,400 rpm dan 500 Nm antara 1,600 dan 2,800 rpm. Walaupun dengan kuasa yang lebih tinggi, kadar penggunaan bahan api dikurangkan sebanyak 4% kepada purata 10.9 km bagi setiap liter.

Bagi enjin 2.4 liter, yang turut memiliki ciri Variable Nozzle Turbocharger (VNT) dan intercooler serta sistem common-rail, ia turut diberikan pembaharuan dari aspek penyejukan dan penjimatan minyak. Dengan tekanan lebih tinggi pada sistem common-rail berkenaan, penjimatan minyak dapat ditingkatkan sebanyak 5%.

Selain itu, enjin yang dipertingkatkan ini juga lebih menjimatkan dari segi penyelenggaraan dengan tempoh antara servis yang lebih panjang iaitu daripada 5,000 km / tiga bulan sebelum ini kepada 10,000 km / enam bulan.

Semua varian menggunakan transmisi enam-kelajuan; bagi varian Double Cab, hanya transmisi automatik dengan Sequential Shift ditawarkan, sementara Hilux Single Cab menjadi satu- satunya yang menggunakan transmisi manual.

Bantuan kuasa bagi rak dan tiang pada sistem stereng Hilux baru ini (kecuali pada varian Single Cab) kini mempunyai Sistem Kawalan Aliran Boleh Ubah (VFC) dengan bebanan yang kurang terhadap pam stereng kuasa, dan menyumbang kepada penjimatan bahan api.

Untuk kestabilan dan cengkaman yang lebih baik, terdapat ciri Auto Limited Slip Differential (Auto LSD) yang menggunakan Sistem Kawalan Cengkaman (TRC) untuk mengawal brek dan janaan enjin ketika satu daripada roda belakang mula kehilangan cengkaman. Ciri ini berfungsi dengan lebih pantas jika dibandingkan dengan sistem 4×4 mekanikal.

Walaupun tahan lasak, aspek keselesaan turut diberikan keutamaan dengan mengoptimumkan mount kabin untuk mengurangkan gegaran serta bunyi bising daripada memasuki kabin.

Hilux Rogue dilengkapi Toyota Safety Sense (TSS) yang terdiri
daripada tiga ciri utama iaitu Sistem Pra-Perlanggaran (PCS), Kawalan Melayar Radar Dinamik (DRCC), Amaran Penukaran Lorong (LDA) dengan Bantuan Brek dan Stereng.

Beberapa sistem bantuan pemandu yang lain (bergantung kepada varian) turut tersedia termasuk Peninjau Titik Buta dengan Amaran Lintasan Trafik Belakang, Kawalan Bantuan Menuruni Curam, Kawalan Mula Mendaki, Kawalan Olengan, Kawalan Kestabilan dan Kawalan Cengkaman serta ABS dengan Agihan Daya Brek.

Turut disertakan adalah tujuh beg udara, pengigat tali keledar dengan sensor bahagian depan dan belakang, dan cagak ISOFIX. Setiap varian didatangkan dengan sistem pencegahan kecurian yang meliputi immobilizer enjin, penggera dan sensor pencerobohan kabin.

Sistem telematik kenderaan (VTS) turut dipasang sebagai ciri standard pada Hilux Rogue dan 2.4 V (ditawarkan sebagai pilihan bagi varian lain) bagi membolehkan pengesanan kedudukan kenderaan dalam masa nyata menggunakan isyarat GPS.

Berikut adalah senarai harga Hilux 2020:

Previous post

Jualan Global Volvo Cars Sebenarnya Bertambah Sept '20 Berbanding Sept '19

Next post

Hyundai i20 N Bakal Hadir Dengan 201 HP, 275 Nm?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *