Pandu Uji

Pandangan Awal: Proton X50 – Bakal Jadi ‘Raja’ SUV Kompak?

Hampir dua tahun yang lalu, Proton buat pertama kalinya menceburkan diri dalam segmen SUV dengan Proton X70. Tidak perlu penulis huraikan perkara itu dengan panjang lebar kerana anda sendiri tahu bagaimana hangatnya sambutan yang diterima oleh model tersebut.

Kini, Proton bakal menjejakkan kakinya ke dalam satu lagi segmen baharu iaitu SUV kompak (segmen B). Taruhannya tidak perlu diperkenalkan lagi, antara model yang paling kerap menjadi buah mulut sejak tahun lalu iaitu X50. Namun adakah penerimaannya akan menjadi sebaik X70?

Mungkin terlalu awal untuk penulis simpulkan namun berdasarkan respon orang ramai menerusi media sosial dan juga jumlah tempahan yang diterima sejak 16 September lalu, penulis yakin ia akan menjadi jauh lebih popular berbanding ‘abang’nya.

Semalam, penulis telah dijemput oleh pihak Proton untuk menghadiri sesi pandu uji X50 yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang. Harus diingatkan bahawa ia sebenarnya adalah sesi ‘preview’ dan penulis hanya sempat mencubanya untuk beberapa minit sahaja. Walapun begitu, ia sudah cukup untuk memberikan bayangan yang jelas tentang kelebihan yang ditawarkan oleh model ini.

Sesi pertama melibatkan ujian slalom, di mana aspek pengendalian X50 diuji. Menurut Proton, pelbagai perubahan telah dilakukan pada casis X50 bagi memastikan ia sesuai dengan keadaan jalan raya di Malaysia. Antaranya adalah konfigurasi baharu pada gegelung dan peredam, dan penggunaan ‘anti-roll bar’.

Hasilnya, X50 mempunyai casis dan suspensi yang lebih lembut berbanding model asalnya iaitu Binyue. Namun, ini tidak menjejaskan prestasinya semasa mengelilingi kon-kon tersebut kerana badannya masih terasa stabil walaupun dengan stereng diputar ke kiri dan kanan bertubi-tubi.

Seterusnya, penulis dibawa ke laluan lurus untuk menguji kemampuan X50 untuk memecut. Apa yang menarik, untuk perlumbaan drag itu, Proton turut membawa dua model lain sebagai penanda aras iaitu Honda HR-V dan BMW X1. X50 yang digunakan untuk sesi ini adalah versi Flagship yang mempunyai 177 PS dan 255 Nm dari enjin 1.5-liter tiga silinder TGDi. Enjin ini dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan.

Sementara itu, HR-V pula menampilkan enjin NA 1.8-liter empat silinder dengan 142 PS dan 174 Nm, manakala X1 sDrive18i, yang turut dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter tiga silinder, mempunyai 140 hp dan 220 Nm. Seperti yang dijangka, kelebihan kuasa kuda dan tork yang dimiliki oleh X50 membolehkan ia meninggalkan X1 dan HR-V dari mula hingga akhir perlumbaan tanpa sebarang masalah. ‘Turbo lag’ seolah-olah tidak wujud dan penukaran gear dalam mod Sport dirasakan lancar, walaupun ianya tidaklah sepantas dan seagresif DSG.

Sesi yang seterusnya adalah demonstrasi ciri Intelligent Cruise Control (ICC) dan Blind Spot Information System (BLIS) yang merupakan sebahagian daripada sistem bantuan pemandu (ADAS) yang disertakan pada varian Flagship. Dikelaskan sebagai teknologi separa autonomi Tahap 2, ICC merangkumi Adaptive Cruise Control (ACC) dengan fungsi Stop & Go dan Lane Keeping Assist (LKA).

Gabungan ciri-ciri tersebut bukan sahaja membolehkan X50 mengikut kenderaan di hadapan berdasarkan jarak dan kelajuan yang ditetapkan, malah membantu mengekalkan kenderaan di tengah-tengah lorong. Bukan itu sahaja, ia juga boleh mengawal stereng untuk memasuki selekoh, dengan syarat selekoh tersebut tidak terlalu tajam. Jika kenderaan dikesan bergerak pada kelajuan yang tinggi, ia akan mengenakan brek terlebih dahulu sebelum membelok.

Sekiranya anda kerap melakukan perjalanan jarak jauh di lebuh raya, ICC adalah sistem yang ideal untuk mengurangkan kepenatan. Namun, ini tidak bermakna anda boleh leka dan menyerahkan sepenuhnya tugas pemanduan kepada sistem tersebut. Tumpuan masih perlu diberikan kepada jalan di hadapan dan tangan anda juga perlu berada pada stereng. Jika tidak, bunyi amaran akan dikeluarkan.

Proton turut sempat menunjukkan bagaimana ciri Auto Park Assist (APA) berfungsi. Ciri ini mempunyai tiga fungsi iaitu untuk masuk ke ruang parkir menegak, serta untuk masuk dan keluar dari ruang parkiri sisi (parallel parking). Secara asasnya, anda hanya perlu memilih ruang parkir yang dikehendaki dan biarkan sistem ini memasukkan kenderaan ke ruang tersebut secara automatik. Anda tidak perlu menekan brek, pendikit, memegang stereng ataupun menukar gear – semuanya akan diambil oleh sistem tersebut.

Apa yang penulis dapat simpulkan hasil dari sesi ‘preview’ ini adalah X50 bakal membolehkan Proton menguasai pasaran SUV segmen B yang kini didahului oleh Honda HR-V. Ini bukanlah sesuatu yang mustahil kerana ia mempunyai tahap kelengkapan yang mengagumkan, ditambah pula dengan reka bentuk yang sangat menarik. Jika harga rasmi yang diumumkan tepat pada sasaran, tidak mustahil kereta yang anda sedang lihat ini bakal dinobatkan sebagai ‘raja’ SUV kompak yang baharu.

Previous post

Pengeluaran McLaren Elva Dikurangkan Dari 399 Kepada 249 Dan Sekarang Hanya 149

Next post

Shell Lubes Lancar Gudang Rasmi di Shopee Mall

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *