Berita Auto

Mitsuoka Buddy Adalah Toyota RAV4 Dengan Gayaan Retro

Masih ingatkah anda pada jenama Mitsuoka? Dibangunkan pada 1968, syarikat dari Jepun itu terkenal dengan rekaan retro yang berasaskan kenderaan-kenderaan moden. Setelah sekian lama menyepi, Mitsuoka kini kembali menyerikan dunia automotif dengan hasil tangan terbaru mereka yang dikenali sebagai Buddy.

Sekilas pandang, jelas sekali Buddy sebenarnya adalah Toyota RAV4 generasi kelima yang telah ‘disolek’ untuk tampil seperti sebuah SUV dari era 1980-an.

Bahagian hadapannya kini menampilkan bampar krom dan gril krom dengan lampu bertindih yang tidak ubah seperti Chevrolet K5 Blazer. Untuk sentuhan moden, terdapat sepasang lampu nyalaan siang LED yang nipis di tengah-tengah gril tersebut.

Dari bahagian sisi, masih terdapat beberapa elemen RAV4 yang boleh dilihat seperti rekaan garisan bumbung dan gerbang roda yang bersegi. Apa yang Mitsuoka lakukan adalah memberikan dapra yang lebih lebar dan beberapa reka bentuk rim klasik.

Perubahan pada bahagian belakang adalah lebih dramatik. Lampu asal RAV4 digantikan dengan unit menegak, manakala tailgate dihiasi dengan panel berwarna hitam, tulisan Mitsuoka yang berjarak dan lencana Buddy dalam tulisan bersambung. Tidak dilupakan adalah bampar krom yang menonjol.

Gambar bahagian dalaman Buddy tidak didedahkan, namun mengenali Mitsuoka, ia dijangka menampilkan kemasan retro seperti panel kayu.

Dari segi teknikal, model ini kemungkinan besar hadir dengan pilihan enjin RAV4 yang asal iaitu enjin petrol 2.0-liter dan hibrid 2.5-liter.

Previous post

GoCar Lancar Struktur Langganan Baharu, Stor Rasmi Shopee

Next post

Hyundai Kona Dilancarkan di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *