Trak Pikap, Van, MPV, Bas & Lori

Jeep Gladiator Dengan Enjin V8 Dodge Demon Untuk Dilelong

Dari segi penampilan luaran, Jeep Gladiator adalah salah satu trak pikap saiz pertengahan yang paling ‘rugged’ di pasaran. Pembeli boleh memilih untuk mendapatkan enjin petrol 3.6-liter Pentastar V6 dengan 285 hp dan 352 Nm atau enjin 3.0-liter EcoDiesel V6 yang menghasilkan 260 hp dan 599 Nm. Tidak cukup untuk memuaskan nafsu anda yang gilakan kelajuan? Mungkin ini yang anda perlukan.

Disenaraikan untuk dilelong di laman web Barrett-Jackson, unit yang anda lihat ini bukan Gladiator biasa-biasa kerana ia dikuasakan oleh enjin 6.2-liter supercharged V8 yang diambil dari satu-satunya kereta produksi yang boleh melakukan ‘wheelie’ ketika memecut iaitu Dodge Challenger SRT Demon.

Dipadankan dengan supercharger berkapasiti 2.7-liter, enjin HEMI V8 itu dikatakan mempunyai 850 hp, 10 hp lebih tinggi berbanding versi standard. Jumlah tork tidak dinyatakan namun melihat kepada senarai modifikasi yang telah dibuat, yang termasuk radiator tugas berat Griffin, sistem pam bahan api berkembar dan sistem intercooler untuk supercharger tersebut, tidak mustahil yang enjin tersebut mempunyai lebih daripada 1,044 Nm.

Bagi memastikan casis ‘body-on-frame’ itu dapat menanggung jumlah kuasa yang tinggi itu, pemiliknya telah memasang sistem suspensi EVO Enforcer Overland Stage-4 6.5 inci dan penyerap hentak EVO King. Tidak cukup dengan itu, penstabil stereng King dan set gandar depan dan belakang Dynatrac Pro Rock Hardcore Plus XD60 turut disertakan.

Modifikasi-modifikasi lain termasuklah spacer boleh laras JKS ACOS pada bahagian hadapan, aci pemacu (driveshaft) Adams, ‘driveline’ 1350 kustom dan ‘differential’ Eaton E-locker4.

Seperti yang boleh dilihat, bahagian luaran Gladiator telah diberikan sentuhan lebih agresif bertemakan warna hitam dan merah supaya sepadan dengan kuasa yang dimilikinya. Selain itu, trak ini juga mempunyai rim Fuel Zephyr yang dibalut tayar Toyo MT, pemegang tayar simpanan, takal WARN Zeon 10S, bampar keluli Mopar, pemijak sisi elektrik Rockslide Engineering dan ‘slider skid’. Ruang dalaman pula menampilkan sulaman logo Demon pada perehat kepala.

Kami tidak pasti siapa pemilik jentera ini atau syarikat mana yang ditugaskan untuk menyiapkannya namun jelas bahawa individu itu mempunyai citarasa yang tinggi.

Previous post

Larangan Keseluruhan Minyak Petrol, Diesel Dan Kereta Hybrid Akan Datang

Next post

TC Subaru Lancar Program Perlindungan Subaru Auto

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *