Motosikal / Lain Lain Roda

Honda Forza 750 Diperkenalkan di Eropah

Honda Forza 750 versi 2021 telah dilancarkan untuk pasaran Eropah. Model flagship ini menyertai barisan skuter maxi jenama itu bersama-sama dengan Forza 135 dan Forza 350.

Menggantikan model Integra, Forza 750 dibangunkan khas untuk kegunaan harian dan aktiviti tunggangan hujung minggu. Seperti X-ADV dan NC750X, ia dikuasakan oleh enjin sejukan cecair berkapasiti 745 cc, silinder berkembar selari dengan teknologi suntikan bahan api elektronik PGM-FI.

Walaupun gerek, lejang, susun atur dan pelepasan CO2 sama, enjin ini menghasilkan kuasa yang lebih tinggi iaitu 57.7 hp pada 6,750 rpm dan 69 Nm pada 4,750 rpm. Bukan itu sahaja, enjin ini juga patuh piawaian Euro 5. Dengan penggunaan bahan api sebanyak 27.8 km/l (berdasarkan mod WMTC) dan tangki bahan api berkapasiti 13.2 liter, ia dikatakan boleh bergerak sejauh 370 km dengan satu tangki penuh.

Dari segi elektronik, Forza 750 dilengkapi dengan Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang ditugaskan untuk menguruskan tork roda belakang menerusi tiga tahap. Tahap 1 membolehkan intervensi minimum untuk kawalan paling ringan pada putaran roda belakang, Tahap 2 merupakan tetapan ‘default’ untuk keadaan tunggangan am manakala Tahap 3 memberikan kawalan maksimum untuk permukaan jalan yang licin.

Selain itu, terdapat juga teknologi Throttle-by-Wire yang menawarkan empat mod tunggangan iaitu Standard, Sport, Rain dan Custom. Masing-masing dengan karakteristik penghantaran kuasa, brek enjin, HSTC dan ABS yang tersendiri.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi klac berkembar enam kelajuan yang menawarkan penukaran gear yang cepat dan lancar. Ia boleh dioperasikan secara manual atau automatik. Untuk mod automatik, terdapat tiga jadual penukaran gear dan mod User yang membolehkan penunggang menyesuaikan corak penukaran gear.

Forza 750 menggunakan rangka tiub keluli ‘diamond’ dengan tapak roda (wheelbase) berukuran 1,590 mm. Pada bahagian hadapan, terdapat fork terbalik (USD) 41 mm manakala di belakang pula terdapat penyerap hentak monoshock yang disambungkan pada lengan ayun aluminium Prolink.

Model ini menggunakan roda aluminium tempaan berukuran 15 inci di hadapan dan 17 inci di belakang, dengan tayar berukuran 120/70 dan 160/60. Sementara itu, sistem brek pula terdiri daripada sepasang cakera 310 mm dengan angkup empat piston pada bahagian hadapan, dan cakera tunggal 240 mm dengan angkup piston tunggal di belakang.

Kelengkapan lain yang disertakan secara standard termasuk paparan TFT berukuran lima inci dengan sistem kawalan suara, telefon pintar dan fungsi Emergency Stop Signal. Selain itu, terdapat ruang penyimpanan berkapasiti 22 liter di bawah tempat duduk, soket pengecas USB dan ruang penyimpanan kecil di bahagian kanan fairing.

Previous post

Bermaz Motor Panggil Semula 19,685 Unit Kenderaan Mazda

Next post

Audi RS Q8 Terima Sentuhan ABT

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *