Berita Auto

Rocket 900 – Hasil Tangan Terbaru Brabus

Dengan 630 hp dan 900 Nm, serta kebolehan untuk mencapai kelajuan 100 km/j dalam hanya 3.2 saat, GT 63 S adalah antara jentera Mercedes-AMG yang berkuasa dan terpantas pernah dihasilkan. Namun bagi Brabus, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan, maka terhasilah Rocket 900.

Seperti yang tertera pada namanya, jentera berprestasi tinggi ini mempunyai 900 PS atau 888 hp. Tork pula dihadkan kepada 1,050 Nm walaupun hakikatnya ia mampu menjana 1,250 Nm.

Bagi mendapatkan kuasa yang sebegitu tinggi, Brabus telah meningkatkan kapasiti enjin daripada 4.0-liter kepada 4.5-liter, di samping menggunakan aci engkol dan piston tempaan yang lebih besar. Selain itu, syarikat itu turut menggunakan pengecas turbo yang dibangunkan sendiri dan sistem ambilan udara gentian karbon pada bahagian kiri dan kanan bampar.

Dari segi prestasi, jentera ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 2.9 saat, 0-200 km/j dalam 9.7 saat dan 0-300 km/j dalam 23.9 saat, manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 330 km/j. Semua ini dilakukan dengan bantuan daripada transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, kedua-duanya dibiarkan standard.

Apa yang tidak standard adalah sistem ekzos yang diperbuat daripada keluli tahan karat dan suspensi udara. Ekzos tersebut mempunyai flap yang dikawal secara elektronik untuk tahap bunyi yang berbeza mengikut mod yang dipilih, manakala suspensi tersebut mengurangkan paras ketinggian sebanyak 25 mm dan mempunyai mod Comfort dan Sport.

Sepadan dengan kuasanya yang menggunung, Rocket 900 tampil dengan kit badan lebar dengan komponen aerodinamik yang diperbuat daripada gentian karbon. Ia juga mendapat rim cakera aero (21 inci di hadapan, 22 inci di belakang) yang dibalut tayar Pirelli.

Ruang dalamannya turut ditambah baik menerusi penggunaan material kulit dan Alcantara serta trim gentian karbon. Namun seperti mana-mana jentera yang ditala oleh Brabus, pelanggan bebas untuk memilih trim dan material mengikut citarasa masing-masing.

Menurut Brabus, hanya 10 unit Rocket 900 akan dihasilkan dan setiap unit ditawarkan pada harga bermula 427,000 Euro (kira-kira RM2.1 juta).

Previous post

Proton X50 Akhirnya Dilancarkan - Harga Bermula RM79,200

Next post

Volkswagen Malaysia Mendigitalkan Perkhidmatan Selepas Jualan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *