Berita Auto

BMW M340i xDrive Dilancarkan Dalam Versi CKD

Selain 330e M Sport, BMW Malaysia turut melancarkan satu lagi varian 3 Series G20 yang dipasang secara tempatan iaitu M340i xDrive. Ini menjadikannya model M Performance yang sulung dipasang di negara ini.

Bahagian luaran jentera ini diserlahkan menerusi kit M Aerodynamics yang dipadankan dengan trim BMW Individual High-gloss Shadowline dan kemasan metalik Cerium Grey pada rongga udara kiri dan kanan di bampar hadapan, gril ‘kidney’ serta cermin sisi.

Ia juga mempunyai lampu hadapan Laserlight, rim aloi ringan Double Spoke 927 M Bicolour berukuran 19 inci yang dibalut tayar ‘runflat’, serta angkup brek M berwarna biru. Di belakang, muncung ekzos berkembar berbentuk trapezium dan spoiler M.

Ruang kabin pula menampilkan kerusi sport yang dibalut kulit Vernasca, stereng M, pelapik bumbung Anthracite BMW Individual serta pedal dan karpet lantai M-Specific. Kemasan Aluminium Tetragon dan trim Pearl Chrome menyempurnakan suasana ruang dalaman sedan ini.

Kelengkapan standard yang disertakan termasuklah karpet aluan bercahaya, pencahayaan ambien dengan 11 pilihan warna, sistem comfort Access, sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara, serta BMW Live Cockpit Professional yang merangkumi paparan instrumen digital 12.3 inci dan skrin sentuh 10.25 inci. Turut disertakan adalah paparan ‘head up’ dan bumbung kaca elektrik.

Di bawah hud, enjin BMW TwinPower Turbo 3.0-liter enam silinder sebaris menjana 387 hp adn 500 Nm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda xDrive, sekaligus membolehkan sedan ini melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.4 saat dan mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Dari segi pengendalian, M340i xDrive mendapat sistem suspensi Adaptive M yang lebih rendah sebanyak 10 mm, stereng kuasa dan differential M Sport yang mengoptimumkan cengkaman serta kestabilan ketika membelok dalam kelajuan tinggi atau memecut keluar dari selekoh.

Sementara itu, sistem pacuan semua roda xDrive memiliki bias roda belakang untuk pemanduan yang sporty dan sistem brek M Sport dengan cakera yang besar dan angkup empat piston memberikan kuasa membrek yang secukupnya.

Sistem bantuan pemandu pula terdiri daripada ciri Parking Assistant, Lane Change Warning, Crossing Traffic Warning, Rear Collision Warning, Speed Limit Assist, Lane Departure Warning dan Forward Collision Warning.

M340i xDrive dijual pada harga RM402,354.13 (harga atas jalan, tanpa insurans dan dengan pengecualian cukai jualan). Ia didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun, servis berjadual percuma, bantuan tepi jalan dengan hotline kemalangan oleh BMW, aplikasi BMW Group Loyalty+ dan BMW Priveleges Card serta servis dalam talian BMW.

Previous post

BMW 330e M Sport Versi CKD Dilancarkan

Next post

Yamaha YZF-R15 Kini Dalam Warna Race Blu dan Hitam

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *