Berita Auto

BMW 330e M Sport Versi CKD Dilancarkan

BMW Malaysia hari ini melancarkan BMW 330e M Sport versi pemasangan tempatan (CKD). Ia ditawarkan pada harga RM264,613.13 (harga atas jalan, tanpa insurans, dengan pengecualian cukai jualan).

Seperti 330i M Sport yang diperkenalkan pada September tahun lalu, model hibrid plug-in ini menampilkan kit badan M Aerodynamics berserta set roda aloi ringan M 18 inci dengan penggayaan 790 M Bicolour. Ia juga mempunyai lampu hadapan LED Adaptif dan lampu belakang 3D. Terdapat lima warna ditawarkan iaitu Alpine White, Black Sapphire, Portimao Blue, Mineral Grey dan Sunset Orange.

Ruang dalaman pula menampilkan trim Aluminium Tetragon, material bumbung Anthracite BMW Individual serta upholsteri kulit Vernasca yang boleh didapati dalam warna hitam atau Cognac. Turut disertakan adalah stereng kulit M, penyaman udara automatik tiga zon, serta BMW Live Cockpit Professional yang merangkumi kluster instrumen digital 12.3 inci dan skrin sentuh 10.25 inci.

Turut disertakan adalah sistem bunyi HiFi yang terdiri daripada 10 pembesar suara dengan amplifier 205 W, fungsi Apple CarPlay dan kunci digital BMW.

Dikuasakan oleh enjin TwinPowerTurbo 2.0-liter empat silinder dan sebuah motor elektrik, 330e M Sport mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 292 hp dan 420 Nm. Transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan membolehkan sedan ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.

Model ini juga dilengkapi teknologi XtraBoost yang memberikan kuasa tambahan ketika memecut. Diakses menerusi ciri Driving Experience Control, teknologi ini boleh dimanfaatkan ketika ‘kickdown’ (penukaran ke gear rendah) dan selepas menukar tuil gear ke posisi M atau S.

Sebagai sebahagian daripada pakej M Sport, model ini juga didatangkan dengan suspensi Adaptive M Sport, sistem brek M Sport serta stereng Sport boleh ubah.

Ciri bantuan pemandu yang disertakan adalah Driving Assistant Professional dengan bantuan stereng, bimbingan laluan dan bantuan parkir (Parking Assistant). Kamera belakang juga disertakan secara standard.

Setiap pembelian 330e M Sport CKD didatangkan dengan waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun, servis berjadual percuma, bantuan tepi jalan dengan hotline kemalangan oleh BMW, aplikasi BMW Group Loyalty dan BMW Priveleges Card serta servis dalam talian BMW.

Sementara itu, pemilik juga akan mendapat waranti bateri yang dilanjutkan sehingga lapan tahun atau 160,000 km. Tawarn ini sah untuk pembelian sehingga 31 Disember 2020.

Previous post

Pratonton Mitsubishi XPANDER Crossover Tujuh Tempat Duduk Baharu

Next post

BMW M340i xDrive Dilancarkan Dalam Versi CKD

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *