Berita Auto

Proton X50 Didedahkan Secara Rasmi

Proton akhirnya mendedahkan gambar rasmi pertama X50 menjelang majlis prebiu media yang akan diadakan pada 15 September depan.

Seperti yang dijangka, rekaan X50 tidak jauh berbeza dengan Geely Binyue yang dijual di China atau Geely Coolray di Filipina. Cuma perbezaannya adalah pada bahagian gril di mana X50 memakai logo terbaru Proton.

Begitu juga dengan rekaan bahagian dalaman. Tiada perubahan ketara yang dapat dilihat di sini selain kedudukan stereng yang dialih dari sebelah kiri ke sebelah kanan.

Berdasarkan gambar yang dibekalkan oleh Proton, X50 bakal didatangkan dengan skrin infotainmen lebar yang sudah pastinya dikuasakan oleh sistem GKUI, panel instrumen digital, stereng ‘flat bottom’, brek parkir elektrik dan corong pendingin hawa belakang.

Dibina di atas platform BMA, X50 berkemungkinan besar akan mendapat enjin turbo 1.5-liter tiga silinder dengan 177 hp dan 255 Nm. Enjin tersebut dibangunkan dengan kerjasama Volvo dan dipadankan dengan transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan.

Dari segi prestasi, X50 dijangka boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.9 saat dan mencapai kelajuan maksimum 195 km/j. Sistem suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson dengan ‘anti roll bar’ pada bahagian hadapan dan ‘semi-independent torsion bar’ pada bahagian belakang.

Pelancaran X50 ini dikatakan akan berlangsung pada Oktober tahun ini. Maklumat lanjut mengenai spesifikasi, varian dan sebagainya akan dikongsikan pada minggu hadapan.

Previous post

Rolls-Royce Ghost Baharu Bertemu Nenek Moyangnya

Next post

UMW Toyota Menerbitkan Filem Pendek Hari Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *