Berita Auto

Peugeot 3008 Facelift Lebih Bergaya dan Canggih

Peugeot 3008 telah diberikan facelift yang merangkumi penambahbaikan dalam aspek reka bentuk dan kelengkapan. Model generasi kedua diperkenalkan di peringkat global pada 2016 dan dipasang untuk pasaran wilayah Asia Tenggara oleh Groupe PSA di kilang Naza Automotive Manufacturing di Gurun, Kedah.

Seperti 208 dan 508 baharu, 3008 kini mempunyai lampu nyalaan siang LED dalam bentuk menegak yang dipadankan dengan lampu utama yang telah direka semula. Perubahan-perubahan lain yang menonjol adalah jeriji tanpa bingkai dan nombor model pada bonet.

Model ini boleh didapati dalam dua warna baharu iaitu Celebes Blue dan Vertigo Blue, serta tiga pilihan trim iaitu Active Pack, Allure Pack dan GT Pack.

Di dalam, i-Cockpit kini lebih moden dan canggih. Kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci didatangkan dengan teknologi ‘Normally Black’ bagi mendapatkan kontras yang lebih baik antara warna terang dan gelap, manakala skrin infotainmen kini lebih besar (10 inci) dan mempunyai resolusi yang lebih tinggi.

Antara kelengkapan yang disediakan termasuklah MirrorLink, Apple CarPlay dan Android Auto. Untuk mengecas telefon pintar mereka, pelanggan boleh menggunakan pengecas tanpa wayar atau port USB pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga.

Untuk pilihan enjin, 3008 boleh didapati dalam dua versi hibrid iaitu Hybrid4 300 dan Hybrid 225. Seperti sebelum ini, Hybrid4 300 menampilkan gabungan enjin PureTech 200 hp dan dua buah motor elektrik. Ia mempunyai sistem pacuan empat roda dan jarak pemanduan elektrik sejauh 59 km.

Sementara itu, Hybrid 225 pula dilengkapi dengan enjin PureTech 180 hp dan sebuah motor elektrik 110 hp yang diletakkan pada transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda hadapan. Ia boleh bergerak dengan kuasa elektrik sejauh 56 km.

Selain dua versi hibrid tersebut, Peugeot turut menawarkan enjin petrol PureTech 1.2-liter tiga silinder dan 1.6-liter empat silinder, serta enjin diesel BlueHDi 1.5-liter empat silinder.

Dari segi sistem bantuan pemandu, 3008 mendapat ciri Night Vision yang mampu mengesan kehadiran pejalan kaki atau binatang pada waktu malam pada jarak sehingga 250 meter. Turut disertakan adalah Adaptive Cruise Control, Park Assist, Driver Warning Alert, Active Blind Spot Monitoring System, Advanced Grip Control dan Hill Assist Descent Control.

Previous post

Ini SUV Toyota Venza Hanya Untuk Amerika Utara

Next post

Michelin Agilis 3 Dilancarkan Untuk Trak Komersial Ringan

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *