Berita Auto

Hyundai Kona Facelift Diperkenalkan

Sedang Malaysia menantikan pelancaran Hyundai Kona, pasaran Eropah dan Amerika Utara sudah pun menerima model facelift. Crossover kompak ini bukan sahaja diberikan reka bentuk yang lebih segar, malah kini mempunyai versi N Line yang lebih sporty.

Jika dibandingkan dengan model asal, Kona facelift menampilkan jeriji yang lebih nipis dan lebar, manakala logo Hyundai yang sebelum ini terletak di tengah-tengah jeriji dialihkan ke bahagian atas. Lampu utama dan lampu nyalaan siang LED direka semula, begitu juga dengan bahagian bawah bampar.

Di belakang, lampu diberikan penampilan baharu menerusi grafik melintang, manakala bampar dilengkapi dengan elemen ‘perisai pelindung’ seperti yang terdapat pada bahagian hadapan dan sisi kenderaan.

Kona N Line tampil sedikit berbeza dengan rekaan bampar yang tersendiri, serta diffuser belakang dan muncung ekzos berkembar. Jika anda perasan, versi ini tidak mempunyai kemasan hitam di sekeliling badan manakala kedudukan logo Hyundai dikekalkan di tengah jeriji.

Dari segi dimensi, model facelift ini 40 mm lebih panjang berbanding model asal. Terdapat lima warna baharu iaitu Surfy Blue, Dive in Jeju, Ignite Flame, Cyber Gray, dan Misty Jungle, dan rim 17 dan 18 inci dalam rekaan terkini.

Untuk ruang kabin, perubahan terhad kepada bahagian konsol tengah yang direka semula, penambahan brek parkir elektrik dan kemasan aluminium di sekeliling corong pendingin hawa.

Kona kini hadir dengan kluster digital berukuran 10.25 inci seperti yang terdapat pada i20 baharu. Ia juga boleh dipesan dengan paparan AVN 10.25 inci yang mempunyai fungsi pembahagian skrin dan sambungan Bluetooth berganda. Selain itu, paparan audio standard dibesarkan sedikit dari tujuh kepada lapan inci, serta dilengkapi dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi enjin, terletak di kedudukan paling atas rangkaian Kona adalah enjin T-GDI Smartstream 1.6-liter dengan 198 PS dan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Ia boleh didapati dalam versi pacuan roda hadapan atau empat roda. Untuk penjimatan bahan api, teknologi mild-hybrid 48 volt juga ditawarkan pada enjin diesel Smartstream 1.6-liter dan enjin petrol T-GDI 1.0-liter.

Jenama dari Korea Selatan itu turut menambahbaik sistem suspensi bagi meningkatkan keselesaan pemanduan tanpa menjejaskan sifat sporty model itu. Stereng juga ditala semula supaya sesuai dengan sistem suspensi tersebut.

Akhir sekali, aspek keselamatan telah ditambahbaik menerusi penambahan fungsi Stop & Go pada Smart Cruise Control. Blind-Spot Collision-Avoidance Assist turut dipertingkatkan bagi mengelakkan perlanggaran sekiranya terdapat kenderaan dikesan berada di dalam titik buta belakang dan pemandu cuba untuk menukar lorong.

Kona juga mempunyai ciri Rear Seat Alert yang berfungsi dengan memberikan amaran kepada pemandu sekiranya terdapat penumpang atau benda pada tempat duduk belakang apabila mereka keluar dari kenderaan. Fungsi ini dilihat mampu mengelakkan berlakunya kes kematian kanak-kanak akibat strok haba selepas ditinggalkan di dalam kereta.

Previous post

Michelin Agilis 3 Dilancarkan Untuk Trak Komersial Ringan

Next post

Honda Mengemas Kini & Menambahbaik Honda Insurance Plus (HiP)

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *